KUALA LUMPUR – Gerakan Ekonomi Malaysia menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan harga ayam tidak akan kekal murah pada masa akan datang tanpa mekanisme subsidi dan kawalan harga.

Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, ayam merupakan komoditi yang mempunyai ciri permintaan tidak anjal di mana permintaan kurang terjejas akibat perubahan harga.

Menurut beliau, pengguna akan terus mengkonsumsi ayam dan pada masa yang sama, harga yang murah tidak menyebabkan jumlah ayam yang dijual meningkat.

“Jadi penjual akan sentiasa menaikkan harga kerana harga murah tidak akan melariskan ayam begitu juga kenaikan harga tidak akan mengurangkan permintaan ayam dengan tinggi.

“Walaupun perubahan harga ayam tidak menjejaskan permintaan tetapi ia merupakan penentuan bebanan kepada rakyat.

“Rakyat yang terpaksa membeli ayam iaitu komoditi keperluan asas bagi isi rumah dengan harga yang mahal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

armin baniaz pahamin
Armin Baniaz Pahamin

Armin mengulas kenyataan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo semalam bahawa pemansuhan subsidi menyebabkan ramai peniaga kini bersaing secara sihat dan berlumba-lumba menawarkan harga terbaik kepada orang ramai.

Beliau memberitahu, harga ayam juga akan meningkat susulan penyusutan nilai ringgit sekali gus mengakibatkan kenaikan kos bahan mentah makanan dan kos anak ayam selain faktor perubahan cuaca yang tidak menentu.

Armin menambah, punca kenaikan harga itu tidak diatasi dengan efektif dan masih berleluasa di mana ia boleh menyebabkan ketidakstabilan harga ayam tanpa kawalan.

“Tujuan utama subsidi dan kawalan harga adalah untuk mengatasi kenaikan kos, masalah bekalan ayam akibat perubahan cuaca dan siling harga semasa permintaan tinggi pada musim cuti perayaan,” jelasnya.

Beliau berkata, bekalan ayam yang kurang akibat perubahan cuaca dan permintaan yang meningkat juga mendorong kepada kenaikan harga ayam.

“Tanpa subsidi dan kawalan harga, kos ayam akan terus meningkat dan rakyat akan terbeban kerana ayam adalah komoditi asas yang diperlukan,” katanya.

Armin berkata, pihaknya tidak menggalakkan mekanisme subsidi dilaksanakan semula namun pada masa yang sama, punca kenaikan harga ayam perlu diatasi. – MalaysiaGazette