BERNAMA: PEDA Cadang Tubuh Majlis Automotif Kawal Selia Dasar
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Persatuan Pengedar Proton Malaysia (PEDA) hari ini menyarankan supaya majlis automotif berkanun ditubuhkan bertujuan mengawal selia dan mentadbir sebarang dasar kerajaan yang baru atau yang disemak semula berkaitan dengan sistem eko automotif.Sebarang isu yang berkaitan dengan sistem eko automotif seharusnya dirujuk kepada majlis automotif yang dicadangkan itu, kata persatuan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehingga ini, tiada terdapat badan berkanun yang mewakili kepentingan sistem eko automotif meski pun industri automotif merupakan sektor yang signifikan yang menyumbang dalam jumlah yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara, kata Pemangku Presidennya Armin Baniaz Pahamin.
"Dengan ketiadaan majlis berkanun bagi mewakili sistem eko automotif, industri automotif akan menjadi lebih lemah dan akan terus merosot," katanya.
Mengambil contoh usul oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) baru-baru ini berkenaan rebat langsung bagi insurans motor, katanya cadangan itu yang telah diluluskan oleh Bank Negara, sebenarnya akan menyaksikan pengedar automotif kehilangan lebih 20 peratus daripada pendapatan mereka.
"Cadangan itu akan memusnahkan sistem eko automotif, khususnya jaringan pengedar automotif. Insurans motor merupakan satu segmen eko-sistem automotif yang penting," kata Armin.
Katanya sekarang ini kesemua pengedar kereta baru dan terpakai merupakan ejen insurans dan premium insurans motor yang dijana oleh pengedar kereta adalah melebihi RM1 juta setahun bagi setiap agensi.
Katanya premium ini mensubsidikan kos overhed serta mengenal pasti keuntungan balik modal pengedar kereta terutamanya semasa krisis ekonomi.
Dengan memintas agensi dengan mengenakan rebat langsung kepada pelanggan akan menyumbang kepada kadar pengangguran yang lebih tinggi dan melemahkan lagi eko-sistem automotif, katanya.
Merujuk industri automotif sebagai satu "pasaran didominasikan bank", Armin berkata tanpa kemudahan bank untuk vendor dan pengedar kereta dan pembiayaan akhir dan sewa beli bagi pembeli kereta, industri automotif akan berkubur.
"Sekarang ini, bank telah pun menguatkuasakan supaya para pengedar menamatkan khidmat syarikat insurans mereka sedia ada sebagai memihak kepada syarikat insurans yang dipunyai bank dengan mengenakan penalti yang tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi ke atas kemudahan perbankan yang disediakan kepada pengedar (sekiranya pengedar tidak melanggan dengan syarikat insurans bank)," katanya.
Pengedar telah diberitahu mereka tidak akan menikmati sebarang komisyen pembaharuan semula insurans apabila mereka melanggan dengan insurans bank menerusi pembatalan kontrak. Semua komisyen bagi pembaharuan semula insurans akan dirampas oleh bank.
PEDA tidak akan teragak-agak untuk menasihati ahli-ahlinya dan persatuan pengedar kereta automotif yang lain untuk memboikot ahli PIAM yang menyokong dan melaksanakan cadangan berkenaan.
-- BERNAMA
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~