Wednesday, 20 May 2009

UTUSAN MALAYSIA 20 MEI 2009/ PEDA gesa boikot PIAM, galak guna Takaful

Berikut adalah kenyataan akhbar yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 20 May 2009. Kenyataan Akhbar juga disiarkan oleh Business Times pada 20 May 2009. Berita Astro Awani, Berita Bernama telah membuat siaran kenyataan PEDA pada 19 May 2009.


Peda gesa boikot PIAM, galak guna takaful

KUALA LUMPUR 19 Mei - Persatuan Wakil Jualan Proton Edar (Peda) meminta kesemua pengedar kereta baru dan terpakai serta ejen insurans memboikot ahli Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan menyokong penggunaan takaful (insurans Islam).

Pemangku Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, cadangan yang dikemukakan PIAM dan mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menghancurkan ekosistem industri automotif terutama rangkaian para pengedar kereta.

''Ini kerana komisen premium dan pembaharuan insurans kenderaan menyumbangkan lebih 20 peratus jumlah pendapatan bersih pengedar untuk satu kereta.

''Segmen insurans kenderaan penting bagi ekosistem automotif,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas cadangan PIAM mendapatkan rebat terus untuk insurans kenderaan diluluskan oleh BNM.

Cadangan PIAM bertujuan melindungi kepentingan syarikat insurans dalam usaha menguasai pasaran antara syarikat milik bank dan bukan milik bank.

Katanya, pengedar kenderaan bakal kehilangan lebih 20 peratus pendapatan berikutan pelaksanaan cadangan PIAM.

''Dengan evolusi berlaku dalam industri kenderaan di Malaysia dan sebagai mematuhi syarat Akta Sewa Beli Kenderaan 1967, pengedar kereta dan kereta terpakai telah menjadi ejen kepada penginsurans untuk menyediakan tambah nilai kepada pelanggan dan institusi kewangan.

''Premium yang disumbangkan oleh pengedar kenderaan adalah sekitar RM500,000 hingga RM1 juta setiap tahun.

''Premium ini akan memberikan subsidi untuk mengatasi peningkatan kos overhed serta menentukan kedudukan pulang modal untuk pengedar kereta terutama semasa krisis ekonomi,'' katanya.

Cadangan PIAM telah menyebabkan pengedar kereta tidak lagi menerima komisen pembaharuan insurans seperti yang dinikmati sebelum ini.

Tambah Armin, dengan krisis ekonomi ini, cadangan itu akan memburukkan industri automotif dan tidak memberikan manfaat kepada syarikat insurans dan agensinya.

''Melangkaui agensi dengan rebat terus kepada pelanggan akan menyumbangkan kepada peningkatan kadar pengangguran dan melemahkan ekosistem automotif,'' tambah beliau.

No comments:

Post a Comment

Stay Tuned~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

google analytic