KENYATAAN MEDIA
BIRO EKONOMI PUSAT PARTI PEJUANG TANAHAIR
PEJUANG MEMPERTIKAIKAN JUMLAH HUTANG PENEROKA FELDA – PENEROKA MISKIN MENJADI FAKIR DIBAWAH PENGURUSAN FELDA?
-
Peneroka Felda yang ditawarkan pelarasan hutang harus berhati-hati dalam menandatangani perjanjian 6-muka surat itu dengan tempoh persetujuan yang amat singkat. Peneroka sekarang dikategorikan sebagai golongan fakir di bawah pengurusan FELDA dan menandatangani perjanjian itu tidak akan mengubah nasib mereka.
-
Kami amat risau dan bimbang bagaimana peneroka-peneroka boleh mempunyai hutang terkumpul berjumlah RM10.375 bilion. Kami berpendapat, jumlah ini amat besar dan punca hutang terkumpul ini harus dikaji dan diteliti.
-
Melupuskan sebahagian dari hutang peneroka tanpa menyelesaikan punca masalah akan menimbulkan masalah yang sama pada masa depan dan peneroka-peneroka akan kembali dalam keadaan terdesak menanggung beban hutang yang tidak sepatutnya berlaku.
-
Melalui sesi temu-bual dan kaji-selidik bersama peneroka-peneroka dari negeri Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan pada 15 Ogos 2021, hampir keseluruhan wakil peneroka tidak tahu wujudnya jumlah hutang terkumpul yang teramat besar itu sehingga mereka diberi 14 hari pilihan untuk menandatangani perjanjian pelupusan hutang.
-
Peneroka mengadu tidak pernah menerima sebarang penyata sehingga mereka di beri perjanjian pelupusan hutang itu. Peneroka juga tidak dimaklumkan perincian butir-butir hutang tertunggak dan jumlah hasil kecuali maklumat hutang terkini di dalam penyata pelupusan.
-
Sebahagian besar jumlah hutang yang terkumpul berpunca dari ketidakcekapan pengurusan oleh Felda (atau wakil Felda) dan berada di luar bidang kuasa peneroka kerana mereka telah menyerahkan pengurusan tanah kepada FELDA.
-
Di bawah pengurusan Felda, peneroka terpaksa berhutang RM1,500 sebulan sebagai elaun sara hidup dan dalam beberapa kes, diberi RM1,500 sebulan sehingga lebih 10 tahun akibat dari ketidakcekapan pengurusan ladang oleh Felda.
-
Ini amat berbeza dengan pulangan hasil bersih diantara RM8,000 hingga 12,000 sebulan yang diperolehi pada tahun ketiga oleh peneroka yang mengusahakan sendiri ladang mereka. Padahal kedua-dua hasil ladang dibawah pengurusan Felda dan pengurusan sendiri dijual kepada Felda.
UNTUK EDARAN SEGERA
-
Peneroka terpaksa berhutang lebih banyak dan lebih lama untuk menyara hidup di bawah pengurusan FELDA berbandingkan purata tempoh masa yang diambil oleh peneroka yang menguruskan ladang mereka sendiri hanyalah 3 tahun.
-
Jumlah hutang terkumpul itu juga tidak ditolak dari hasil ladang yang mereka serahkan kepada FELDA walaupun telah disemai beberapa kali dan telah hampir penghujung hayat tanaman.
-
Hutang juga akan bertambah dengan kadar faedah tinggi 6.25% kerana pembayaran hutang bergantung sepenuhnya diatas kecekapan FELDA mengurus dan membuahkan hasil.
-
Hutang-hutang peneroka patut dilupuskan tanpa perlunya peneroka menandatangani apa-apa perjanjian dan tindakan patut diambil keatas pegawai-pegawai Felda yang gagal melaksanakan tugas mereka dengan sempurna dan mengakibatkan peneroka menanggung hutang yang sebegitu banyak terutamanya tanpa sebarang penyata kewangan diserahkan.
-
Malah peneroka patut di bayar ganti-rugi setiap kali pengurusan ladang gagal atau pun lambat mengusahakan dan membuahkan hasil. Jumlah hasil juga patut dimaklumkan.
-
Biro Ekonomi Pusat PEJUANG akan terus memantau dan mengkaji situasi peneroka dan akan membentang cadangan pembaikan dari segi dasar dan model perniagaan untuk memastikan taraf ekonomi peneroka akan terbela.
-
Satu persefahaman baru perlu dicapai untuk memastikan punca-punca hutang dan permasalahan akan diberi sepenuh tumpuan sebagai penyelesaian supaya ekonomi peneroka-peneroka dapat diperbaik dan mereka tidak akan di beban kembali dengan permasalahan yang sama.
-
Felda adalah sebuah badan berstatutori yang ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956, maka ia adalah entiti berkepentingan awam.
ARMIN BANIAZ PAHAMIN
Ahli Majlis Eksekutif Pusat | Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti PEJUANG Tanahair 16.08.2021
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~