Responsive Ad Slot

STRUKTUR EKONOMI NEGARA TIADA HALA TUJU JELAS DAN PERLU DI UBAH


KENYATAAN MEDIA

AHLI MAJLIS EKSEKUTIF PUSAT | PENGERUSI BIRO EKONOMI MALAYSIA

 

MALAYSIA PERLU MENSTRUKTUR SEMULA EKONOMI 

 

1.     PETALING JAYA. Parti Pejuang Tanahair berpendapat hala tuju dan ekonomi negara perlu distrukturkan semula supaya ekonomi negara dapat mewujudkan kembali berbagai permintaan barangan dan pekerjaan yang boleh memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi. Ukuran untuk inflasi dan kemiskinan juga perlu dikemaskini kerana ianya tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat yang semakin terdesak dalam mengharungi kehidupan seharian.

 

2.     Terkini, 288,000 rakyat Malaysia telah di isytihar muflis setakat bulan Februari 2022, 50,000 kontraktor telah gulung tikar dan 1.5 juta rakyat tergolong dalam kategori B5 yang dikenali sebagai ‘economically dead’ atau miskin tegar iaitu golongan yang tiada pendapatan, tabung simpanan dan tidak dapat meneruskan kehidupan harian.

 

3.     Keadaan negara yang juga tidak dapat mengawal nilai mata wang ringgit dari terus merosot, harga barang yang semakin mahal dan ura-ura kadar faedah OPR akan dinaikkan, akan terus membebankan lagi kesejahteraan rakyat.

 

4.     Masalah kemiskinan dan juga masalah pengangguran di negara kita berpunca dari struktur ekonomi yang tidak dipandu dengan baik dari segi hala tuju dan juga perlaksanaan. Malaysia gagal mencapai negara perindustrian seperti sasaran wawasan 2020 dan dengan industri perindustrian yang belum matang ini, hala tuju ekonomi telah dipandu-ubah, lebih menghala ke sektor perkhidmatan. 

 

5.     Akibatnya jurang kenaikan gaji bagi sektor-sektor tertentu seperti perkilangan, semakin meningkat dan ini  terbukti apabila ramai graduan profesional seperti jurutera tidak mendapat gaji setimpal dengan latar-belakang akademik, pengalaman dan tugas kerjanya. Jurutera siswazah dilaporkan menerima gaji statik dan tidak berubah semenjak hampir 20 tahun.

 

6.     Jurang terbesar peningkatan produktiviti berbanding dengan kenaikan gaji pekerja dalam sektor perkhidmatan adalah yang paling ketara. Lebih merisaukan semenjak tahun 2020 dan pasca pandemik, sektor perkhidmatan telah menunjukkan peningkatan produktiviti yang tinggi tetapi gaji pekerja yang dibayar semakin merosot. 


7.     Ini menyumbang kepada jumlah kemiskinan yang semakin meruncing dan ianya hanya boleh diselesaikan melalui penstrukturan semula ekonomi. Penstrukturan semula ekonomi untuk menyelesaikan masalah kemiskinan akan mengambil kira faktor-faktor seperti:

 

i.       Keselamatan makanan, 

ii.     Akses kepada pendidikan percuma yang berkualiti untuk masa depan negara; 

iii.    Perumahan mampu milik khususnya mereka dalam golongan B40; 

iv.    penstrukturan semula pendidikan untuk membuka peluang pekerjaan berpandukan permintaan ekonomi; dan 

v.     Teknologi 

 

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Ahli Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia 

Parti PEJUANG Tanahair 

04.07.2022





 

© all rights reserved
made with by templateszoo