Responsive Ad Slot

Slider

Pas sertailah GTA jika mahu martabat ekonomi orang Melayu – Armin

 

Pas sertailah GTA jika mahu martabat ekonomi orang Melayu – Armin

By Ainul Asniera Ahsan - 13 September 2022

KUALA LUMPUR – Kalau Parti Pas mengutamakan ekonomi dan masa depan orang-orang Melayu, parti itu harus bersama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan bersama untuk mengubah landskap ekonomi bangsa Melayu.

Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Armin Baniaz Pahamin mendakwa, GTA adalah gerakan orang-orang Melayu untuk mengubah nasib dan masa depan bangsa itu dan bukanlah satu permainan politik.

Menurutnya, kemiskinan pasca pandemik adalah satu realiti dan hakikat yang perlu diterima dan diatasi dan ia tidak mungkin akan selesai dengan sendirinya tanpa wawasan dan tindakan oleh kerajaan.
Di Kelantan, negeri yang diterajui oleh Pas, kitaran kemiskinan amat nyata dan tiada penyelesaian.

Kebanyakan generasi-generasi muda terhindar daripada kemajuan akibat kemiskinan hinggakan anak-anak di bangku sekolah terpaksa membantu ibu dan bapa berniaga untuk mencari sesuap nasi dan tidak dapat memberi fokus dan tumpuan kepada sekolah dan pembelajaran.

Malah, dakwa Armin, ramai yang tidak sempat tamat pelajaran sekolah menengah atau tamat dengan keputusan peperiksaan yang lemah.

”Tanpa pengajian tinggi, anak-anak mereka akan mengalami nasib yang sama seperti ibu bapa mereka dan kitaran ini akan berterusan ke generasi-generasi akan datang.

”Struktur dan hala tuju ekonomi negeri Kelantan juga tidak dapat menjana pendapatan kepada kerajaan negeri dan tidak dapat menjana permintaan untuk mewujudkan pekerjaan atau ekosistem perniagaan. Kerajaan Negeri terpaksa menggadai tanah-tanah balak dan mengeluarkan permit-permit menjual pasir yang tidak menguntungkan negeri Kelantan.

”Pentadbiran kerajaan negeri juga mengambil langkah yang mudah untuk mentadbir dengan menswastakan tempat letak kenderaan dengan caj bayaran dan denda yang jauh lebih tinggi dari negeri-negeri yang lebih maju. Caj-caj dan bayaran denda ini juga tidak menguntungkan kerajaan negeri tetapi lebih menguntungkan syarikat swasta itu dan membebankan rakyat.

”Peratusan tanah rizab Melayu di negeri Kelantan adalah yang tertinggi berbanding negerinegeri lain. Walau bagaimanapun, kami risau apabila menerima laporan tanah-tanah rizab Melayu ini dengan jumlah yang agak besar, telah di pajak kepada golongan bukan Melayu,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Pas tidak akan menyertai GTA kerana gabungan itu bukanlah daripada parti dominan.

Oleh sebab itu, memartabatkan kuasa pembeli dan ekonomi orang-orang Melayu menjadi salah satu dari matlamat utama gerakan orang-orang Melayu di bawah GTA.

Jelasnya, prinsip bersih, cekap dan amanah akan memastikan perlaksanaan yang telus tanpa rasuah, salah guna kuasa dan lebih berkesan dan penyatuan orang-orang Melayu termasuk ahli dan penyokong Pas dalam memperjuangkan ekonomi dan taraf hidup orang-orang Melayu akan lebih menjamin perubahan terutamanya dari segi struktur ekonomi. – MalaysiaGazette

0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo