Felda perlu bertanggungjawab ke atas hutang peneroka
KOTA BHARU - Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan keputusan penghapusan hutang peneroka Felda.
Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, langkah itu bertujuan menjamin masa depan peneroka dan keluarga mereka.
"Semasa pelancaran skim pelupusan hutang ini, GEM memang mempertikaikan punca hutang ini yang mana pada pendapat saya ia berlaku akibat kegagalan pihak Felda sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, kegagalan menyediakan penyata hutang yang telus dan nilai-nilai yang dinyatakan diragui serta dipertikai menyebabkan ramai peneroka mengambil keputusan untuk mengambil alih pengurusan ladang dari pengurusan Felda.
Ujarnya, Felda dipercayai tidak menguruskan ladang peneroka dengan baik di mana kos operasi terus dicaj namun kerja di ladang tidak dilaksanakan dengan baik.
Armin Baniaz memberitahu, nilai yang dicaj juga tidak dapat dibuktikan secara audit dan mengikut prosedur perakaunan.
"Ketua Audit Negara juga telah menolak nilai hutang melalui Laporan Kewangan Felda 2018.
"Apabila peneroka menandatangani perjanjian enam muka surat persetujuan pelupusan hutang, maka peneroka secara tidak langsung mengakui jumlah hutang yang dinyatakan oleh Kerajaan," katanya.
Beliau memberitahu, apabila kerajaan menghentikan inisiatif penghapusan hutang Felda, persoalan utama ialah jumlah yang perlu dibayar balik.
Tambah beliau, kemungkinan besar peneroka bukan sahaja akan menjadi fakir tetapi anak-anak dan cucu-cucu peneroka juga mungkin akan mati membayar hutang yang mereka tidak pun tahu hujung pangkal.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan kerajaan membuat keputusan menghentikan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda yang dimulakan kerajaan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan kini tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan kerana penghapusan hutang pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar terhadap aliran tunai Felda.
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~