Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, kerajaan perlu bersedia dengan rancangan tindakan yang holistik untuk mengatasi sebarang masalah.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia yang sedang dilanda inasi dan pertumbuhan merudum dikhuatiri akan terus terjejas akibat perubahan iklim tanpa perancangan awal untuk mengatasi sebarang masalah bakal mengganggu bekalan.
"Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan yang holistik, lebih pro-aktif dan bukan setakat memantau serta menunggu bencana melanda sebelum mengambil tindakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Armin berkata, pemanasan global adalah salah satu faktor menjadi pemangkin kepada hujan yang sangat lebat, pembakaran hutan dan bencana ribut taufan.
Beliau berkata, sektor pertanian adalah salah satu sektor terkesan dengan sumbangan sebanyak 7.4% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), merangkumi pengeluaran komoditi seperti getah, koko, beras dan minyak sawit telahpun terjejas.
"Cuaca panas dan kemarau mengakibatkan susu getah berkurangan dan tanaman dijangkiti berbagai penyakit.
"Jika kebiasaannya 700 batang pokok getah dapat mengeluarkan 200 kilogram (kg) susu getah, kini ia hanya dapat menghasilkan 100 kg susu getah sahaja.
"Sesetengah petani juga mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air untuk penanaman padi dan jika tidak diatasi, masalah ini mampu menjejas bekalan beras negara," katanya.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Badrul Hisham Mohd Sektor, pertanian mengalami 30% impak negatif akibat cuaca panas.
Armin berkata, selain pertanian, sektor-sektor lain juga terkesan dengan cuaca panas dan perubahan iklim termasuk perikanan yang terancam apabila suhu meningkat serta menjejaskan sumber makanan hidupan akuatik.
"Perubahan suhu panas juga mengancam terumbu karang yang menjadi tempat bergantung ikan-ikan di lautan. "Kenaikan suhu juga akan menghasilkan ombak besar apabila sel-sel tekanan rendah di permukaan laut berkembang.
"Ombak besar mengganggu aktiviti perikanan di pinggir pantai. Keadaan cuaca amat penting kepada nelayan dan hasil tangkapan. Pendapatan nelayan akan terjejas teruk," katanya.
Tambah beliau, perubahan iklim juga menjejaskan sistem pengangkutan apabila hujan dan ribut yang lebat mengakibatkan jalan raya berlubang dan mendap.
Katanya, hujan, ribut dan ombak yang besar juga menyebabkan pengangkutan laut terhenti serta menjejaskan aktiviti perdagangan.
- DagangNews.com (dagangnews.com)
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~