Responsive Ad Slot

Slider

Kenaikan OPR perlu dibendung untuk kurangkan beban rakyat, perniagaan kecil - GEM


Kenaikan OPR perlu dibendung untuk kurangkan beban rakyat, perniagaan kecil - GEM

Dagang News | Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN | 5/31/23, 12:47 PM

KUALA LUMPUR 31 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menyemak semula kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75% untuk mengurangkan beban isi rumah dan perniagaan kecil.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, kenaikan kadar OPR tidak memberi kesan kepada aliran tunai dalam pasaran untuk membendung perbelanjaan dan mengawal inflasi.

Katanya, beberapa faktor menyumbang kepada keberkesanan itu seperti faktor pinjaman alternatif yang amat mudah dipohon dan diluluskan secara dalam talian juga memainkan peranan.

"Perkhidmatan ‘ceti alaf baru’ ini seperti SPay Later Shopee, Grab Pay Later, Lazada LazPay Later Credit, Touch 'n Go-Go Pinjam dan lain-lain. Ini tidak termasuk khidmat ‘ah long’ yang sentiasa agresif mencari pelanggan.

"Kadar faedah pinjaman melalui aplikasi ini adalah amat tinggi dengan kadar faedah sehingga 36% setahun dan lebih tinggi dari kadar faedah dari bank, tetapi rakyat akan terus meminjam dan terpaksa meminjam kerana mereka terbeban dengan kenaikan harga barang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Armin, hasrat kerajaan untuk membendung permintaan melalui kenaikan kadar OPR bagi menyeimbang harga barangan tidak akan berjaya, yang mana ia akan terus meningkat.
Beliau berkata, kerajaan terlalu yakin dengan pertumbuhan ekonomi 5.6% bagi suku pertama 2023 dan kenaikan kadar OPR kepada 3% adalah konsisten dengan data yang menunjukkan prestasi ekonomi yang kukuh.

"Tetapi kerajaan gagal mengambil kira laporan Jabatan Statistik yang melaporkan kemerosotan ekspot sehingga 17.4% bulan April, tahun ke tahun.

"Kemerosotan ekspot ini adalah penunjuk dan indikator kepada ekonomi Malaysia yang akan terus merudum selaras dengan hasil pendapatan komoditi yang menurun dan prospek pertumbuhan global yang dijangka lemah sepanjang 2023," katanya.

Armin berkata, masalah kenaikan kos sara hidup, mata wang ringgit yang semakin lemah dan pembangunan ekonomi masih kritikal dan menjejas kelestarian hidup rakyat dan perusahaan kecil.
Dengan kenaikan kadar OPR katanya, pasaran saham semakin lembap, mata wang ringgit semakin merosot dan kos sara hidup masih meningkat khususnya sektor makanan.

"Jumlah kebangkrapan masih kekal tinggi walaupun kerajaan telah membuat pindaan akta untuk mengurangkan jumlah kebangkrapan. Golongan M40 semakin miskin dan bergelut untuk membayar makanan, sewa dan hutang," katanya.
Katanya, kerajaan tidak memerlukan sebegitu banyak kementerian untuk menyelesaikan kemelut ekonomi tetapi memerlukan polisi radikal yang boleh memandu kita keluar dari krisis ekonomi.

Beliau berkata, solusi ekonomi memerlukan pemikiran di luar kotak yang kreatif sebagai contoh, ramai yang tidak menyokong tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tambatan ringgit semasa krisis kewangan 1997 tetapi ia berjaya memulihkan ekonomi Malaysia.
"Kebanyakan isi rumah dan perniagaan kecil telah kehabisan wang simpanan yang dipakai untuk bertahan semasa pandemik COVID-19 dan mereka masih belum pulih. Sebahagian besar rakyat dan juga perniagaan kecil tidak mungkin dapat bertahan dengan kenaikan kos sara hidup berterusan.

"Sebilangan besar kelas pertengahan juga menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan belanjawan bulanan mereka," katanya.

Katanya, Malaysia perlu menyemak semula indikator atau aras penunjuk kemiskinan. Kadar kemiskinan dalam negara semakin meningkat dan ramai yang tercicir dari data yang direkod melalui aras penunjuk sedia ada.

"Dengan erti kata lain, aras penunjuk sedia ada gagal merekodkan mereka yang tergolong dalam kemiskinan dan golongan ini mungkin tidak mendapat apa-apa bantuan. Ini bermakna, lebih ramai rakyat yang sebenarnya terkesan dan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan OPR," katanya.

Katanya, data-data yang tepat dan realistik amat penting kerana data ini digunakan sebagai analisa BNM dalam menentukan kadar pengurusan monetari serta polisi-polisi dan dasar-dasar berkaitan.

Tambah beliau, kerajaan juga boleh memperkenalkan bajet tambahan untuk program yang dapat mengatasi kemurungan ekonomi yang dijangka akan berterusan.

"Kami menggesa kerajaan untuk menyemak kembali kadar OPR dan memperkenalkan dasar ekonomi yang bukan sahaja mesra rakyat dan bisnes tetapi berupaya memacu ekonomi negara dengan dasar yang mampu membuka banyak peluang baru kepada usahawan tempatan," katanya. - DagangNews.com.
0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo