KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyemak semula aras penunjuk kemiskinan negara memandangkan kadar kemiskinan dibimbangi semakin meningkat dengan ramai yang tercicir daripada rekod sedia ada.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin, berkata ketiadaan rekod itu menyebabkan mereka yang tergolong dalam kategori miskin mungkin tidak mendapat sebarang bantuan sepatutnya, sekali gus lebih ramai rakyat sebenarnya terkesan dan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup serta kadar dasar semalaman (OPR).
Katanya, data yang tepat dan realistik amat penting kerana ia diguna sebagai analisa Bank Negara dalam menentukan kadar pengurusan monetari dan polisi serta dasar berkaitan.
"Jumlah kebankrapan juga masih kekal tinggi walaupun kerajaan sudah membuat pindaan akta untuk mengurangkan jumlah mereka yang bankrap, malah golongan M40 semakin miskin dan bergelut untuk membayar makanan, sewa serta hutang.
"Kebanyakan isi rumah dan perniagaan kecil sudah kehausan simpanan yang di pakai untuk bertahan ketika pandemik COVID-19 dan mereka masih belum pulih, manakala sebahagian besar rakyat dan perniagaan kecil tidak mungkin dapat bertahan dengan kenaikan kos sara hidup yang berterusan, dengan sebilangan besar kelas pertengahan juga menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan belanjawan bulanan mereka," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armin Baniaz berkata, kerajaan digesa menyemak kembali kadar OPR dan memperkenalkan dasar ekonomi yang bukan saja mesra rakyat dan perniagaan, tetapi berupaya memacu ekonomi negara dengan dasar yang mampu membuka banyak peluang baharu kepada usahawan tempatan.
Beliau juga mencadangkan Bank Negara menyemak kembali kadar OPR sebanyak 2.75 peratus untuk mengurangkan beban isi rumah dan perniagaan kecil, selain meminta bajet tambahan dibuat untuk program yang dapat mengatasi kemurungan ekonomi yang dijangka berterusan.
Katanya, walaupun kerajaan terlalu yakin dengan pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus bagi suku pertama 2023 dan kenaikan kadar OPR kepada tiga peratus adalah konsisten dengan data yang menunjukkan prestasi ekonomi yang kukuh, namun ia tidak mengambil kira laporan Jabatan Statistik yang melaporkan kemerosotan eksport sehingga 17.4 peratus bulan April, tahun ke tahun.
"Kemerosotan eksport ini penunjuk dan indikator kepada ekonomi Malaysia yang akan terus merudum selaras dengan hasil pendapatan komoditi yang menurun dan prospek pertumbuhan global yang dijangka lemah sepanjang 2023.
"Yang nyata, masalah kenaikan kos sara hidup, mata wang ringgit yang semakin lemah dan pembangunan ekonomi masih kritikal serta menjejas kelestarian hidup rakyat dan perusahaan kecil," katanya.
Beliau berkata, mereka yang terkesan akan melakukan tindakan seperti membuat pinjaman mudah lulus, yang kadar faedah pinjamannya amat tinggi berbanding bank.
"Rakyat akan terus meminjam dan terpaksa meminjam kerana mereka terbeban dengan kenaikan harga barang.
"Justeru, hasrat kerajaan untuk membendung permintaan melalui kenaikan kadar OPR bagi mengimbangkan harga barangan tidak akan berjaya. Harga barangan terutama keperluan asas akan terus meningkat," katanya.
Artikel asal: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1108298/semak-semula-penunjuk-aras-kemiskinan-negara
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~