'Kerajaan wajar bentang bajet tambahan untuk bantu rakyat' - NGO
KUALA LUMPUR: Dasar subsidi bersasar yang dijangka dilaksanakan mulai tahun hadapan, disifatkan tidak memberi apa-apa manfaat tambahan kepada golongan B40 dan M40, yang merangkumi hampir 80 peratus tenaga kerja Malaysia.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin, berkata dengan subsidi yang sedia ada, majoriti rakyat masih dalam keperitan menghadapi krisis kenaikan harga barang dan mata wang ringgit yang lemah.
Katanya, dalam keadaan ekonomi yang dijangka akan lebih merudum dengan risiko gawat, kerajaan sepatutnya membentang bajet tambahan untuk mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi kehidupan sukar menerusi bantuan tambahan untuk mereka.
"Kerajaan juga perlu mengutamakan pengurangan kos dalam pentadbiran kerajaan. Umum sedia maklum kos menyelenggara pentadbiran kerajaan amatlah tinggi dan kerajaan sepatutnya lebih prihatin untuk mengurangkan kos ini.
"Subsidi kepada golongan B40 dan M40 tidak terjejas selain tidak juga bertambah di bawah dasar subsidi bersasar. Setakat yang dimaklumkan, hanya golongan T20 yang akan terjejas.
"Jadi, tidak ada apa-apa manfaat kepada rakyat marhaen, tetapi kerajaan mungkin mendapat sedikit penjimatan dari subsidi kepada golongan T20 yang ditarik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, BH melaporkan, kerajaan dijangka melaksanakan pemberian subsidi bersasar, termasuk untuk petrol RON95 dan diesel, mulai tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan untuk permulaan, ia hanya membabitkan subsidi diesel.
Salahuddin berkata, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 17 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Armin Baniaz berkata, kerajaan perlu merangka satu 'industrial masterplan' atau dasar-dasar jangka masa pendek dan jangka panjang untuk menentukan permintaan dari ekonomi sentiasa terbuka untuk memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang selesa dan ekosistem perniagaan yang mampan kepada semua.
Katanya, kerajaan juga perlu membina dan memandu sektor-sektor tertentu selain memastikan sektor terbabit maju serta berdaya saing sekurang-kurangnya di Asia Tenggara.
"Selain itu, kerajaan juga perlu mengutamakan dasar yang boleh mengubah landskap serta taraf kehidupan rakyat dan jumlah perbelanjaan subsidi secara tidak langsung akan beransur kurang.
"Pelaksanaan subsidi bersasar ini mungkin penting untuk kerajaan mengurangkan perbelanjaan, tetapi yang lebih penting ialah untuk kerajaan merangka dasar-dasar pembangunan industri dan hala tuju industri-industri tertentu terutamanya industri yang mampu menyumbang kepada pendapatan negara.
"Dengan pendapatan negara yang meningkat hasil dari pembangunan industri seperti industri automotif dan petroleum, kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak manfaat kepada rakyat seperti pendidikan selain peluang-peluang pekerjaan dan secara tidak
langsung mengurangkan perbelanjaan subsidi dan bantuan," katanya menurut kenyataan itu.
Beliau berkata, untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan perlu memberi fokus kepada pendapatan boleh belanja bersih individu dan bukan isi rumah.
"Selain itu, kerajaan juga perlu membantu dengan menambah bantuan atau subsidi jika tidak mencukupi, sebagai persediaan mengharungi keadaan ekonomi yang dijangka akan semakin mencabar.
"Subsidi adalah seumpama 'ubat tahan sakit' yang diberi untuk mengurangkan beban rakyat tetapi ia bukanlah solusi.
"Rakyat sebenarnya tidak memerlukan subsidi jika mereka boleh berdikari dan dapat menjana pendapatan yang selesa.
"Masalah terbesar yang perlu di atas ialah masalah kemiskinan dan masalah ekonomi," katanya.
Artikel ini pertama kali disiar di Berita Harian
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~