Responsive Ad Slot

Slider

Subsidi bersasar bukan penyelesaian krisis ekonomi rakyat - GEM

 

Subsidi bersasar bukan penyelesaian krisis ekonomi rakyat - GEM

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Dasar subsidi bersasar yang akan dilaksanakan kerajaan dilihat bukan penyelesaian yang dapat membantu golongan B40 dan M40 dalam menghadapi ekonomi yang semakin mencabar.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin berkata, untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan perlu memberi fokus kepada pendapatan boleh belanja bersih individu dan bukan isi rumah.

Katanya, selain itu kerajaan juga boleh membantu dengan menambah bantuan atau subsidi, jika tidak mencukupi, sebagai persediaan mengharungi krisis ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

"Golongan B40 dan golongan M40 merangkumi hampir 80 peratus warga kerja di Malaysia, malah dengan subsidi yang sedia ada, majoriti rakyat masih dalam keperitan menghadapi krisis kenaikan harga barang dan mata wang ringgit yang lemah. 

"Dalam keadaan ekonomi yang dijangka akan lebih merudum dengan risiko gawat, kerajaan sepatutnya membentang bajet tambahan untuk mengurangkan beban rakyat dengan menambah bantuan bagi rakyat mengharungi kehidupan yang sukar

"Kerajaan juga perlu mengutamakan pengurangan kos (cost-cutting) dalam pentadbiran sedia ada dan umum sedia maklum (bahawa) kos menyelenggara pentadbiran kerajaan amatlah tinggi dan ia patut dikurangkan.

"Malah, subsidi kepada golongan B40 dan M40 tidak terjejas dan tidak juga bertambah di bawah dasar subsidi bersasar," katanya.

Menurutnya, setakat dimaklumkan, hanya golongan T20 yang akan terjejas, oleh itu kerajaan mungkin mendapat sedikit penjimatan daripada subsidi kepada golongan T20 yang ditarik balik.

Beliau berkata, subsidi untuk mengurangkan beban rakyat, tetapi ia bukanlah solusi kerana rakyat sebenarnya tidak memerlukan subsidi jika mereka boleh berdikari dan dapat menjana pendapatan yang selesa. 

"Masalah terbesar yang perlu ditangani ialah masalah kemiskinan dan ekonomi, kerajaan perlu merangka satu industrial masterplan (pelan induk perindustrian atau dasar jangka masa pendek dan panjang untuk menentukan permintaan dari ekonomi sentiasa terbuka sekali gus memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang selesa dan ekosistem perniagaan yang mampan kepada semua. 

"Kerajaan perlu membina dan memacu sektor tertentu dan memastikan sektor terbabit maju dan berdaya saing sekurang-kurangnya di Asia Tenggara," katanya.

Armin berkata, setiap industri yang dibangunkan sebenarnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sebagai contoh, industri automotif mampu memberi pekerjaan kepada lebih 710,000 pekerja dan menyumbang sebanyak RM30 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Artikel asal di https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/06/976163/subsidi-bersasar-bukan-penyelesaian-krisis-ekonomi-rakyat-gem


0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo