Responsive Ad Slot

Slider

Harga ayam tanpa subsidi tidak kekal murah, tambah beban kepada rakyat - GEM

 

Harga ayam tanpa subsidi tidak kekal murah,
tambah beban kepada rakyat - GEM

Oleh DagangNews.com | ZULFADLI SHARIFUDIN | mohdzulfadli@dagangnews.com (mailto:mohdzulfadli@dagangnews.com)
TERKINI (/TERKINI) 10 Nov 2023 12:27 PM11/11/23, 8:46 PM

KUALA LUMPUR 10 Nov - Harga ayam tanpa subsidi dan kawalan harga tidak akan kekal murah, yang mana sekali gus akan menambahkan bebanan kepada rakyat, menurut Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM). 

Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, walaupun perubahan harga ayam tidak menjejaskan permintaan, ramai yang terpaksa membeli ayam dengan harga yang mahal.

Katanya, secara logiknya harga ayam atau apa-apa barangan tidak mungkin akan menjadi murah tanpa subsidi dan kawalan harga yang mengekalkan harga maksimum. 

"Sebulan sebelum pengapungan harga ayam, lebih 100 notis dikeluarkan di seluruh negara kepada peniaga yang menaikkan harga jualan ayam.  

"Harga ayam yang masih berada dalam linkungan harga kawalan apabila harga ayam diapung adalah bersifat sementara dan akan meningkat secara berperingkat," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

Menurut Armin, harga ayam juga akan meningkat susulan mata wang ringgit yang lemah mengakibatkan kenaikan kos bahan mentah makanan, kenaikan kos anak ayam dan perubahan cuaca yang tidak menentu.

Beliau berkata, punca kenaikan harga tidak diatasi dengan efektif dan masih berleluasa, yang mana ia menjamin ketidakstabilan harga ayam tanpa kawalan. 

Katanya, tujuan utama subsidi dan kawalan harga adalah untuk mengatasi kenaikan kos, masalah bekalan ayam akibat perubahan cuaca dan juga harga siling ketika permintaan tinggi pada musim cuti perayaan.

"Bekalan ayam yang kurang akibat dari perubahan cuaca juga mendorong kepada kenaikan harga selain daripada permintaan yang meningkat. Tanpa subsidi dan kawalan harga, kos ayam akan terus meningkat dan rakyat akan terbeban kerana ayam adalah komoditi asas yang diperlukan. 

"Walaupun kami tidak menggalakkan subsidi tetapi punca kenaikan harga perlu diatasi. Dengan harga apungan, harga ayam akan meningkat secara berperingkat kerana ia adalah sifat barangan keperluan dengan permintaan tidak anjal selain punca masalah yang masih tidak diatasi," katanya.

Katanya, penguatkuasaan dan pemantauan pihak berkuasa juga tidak akan mendatangkan hasil jangka masa panjang kerana tanpa harga kawalan, penjual bebas untuk meletakkan harga jualan runcit.

"Apa guna meletakkan harga apungan jika harga ayam terus dikawal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secara tidak langsung melalui tindakan mengeluarkan notis-notis KPDN kepada peniaga. Adakah ini boleh menyelesaikan punca masalah?," soalnya. - DagangNews.com (https://dagangnews.com)


0

No comments

Post a Comment

Stay Tuned~

TRENDS

both, mystorymag
© all rights reserved
made with by templateszoo