Budaya dan warisan Melayu diperkecilkan Menteri Pelancongan
KERAJAAN disaran menilai semula keputusan menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina bagi pihak Republik Rakyat China.
Pada masa yang sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing, wajar disingkirkan dari Kabinet demi menjaga maruah dan kedaulatan budaya negara.
Sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap pelancongan, seni, dan budaya, Tiong seharusnya mempromosikan budaya tempatan sebagai daya tarikan utama pelancongan Malaysia.
Negara kita kaya dengan warisan budaya yang unik dan berbilang kaum.
Namun, keputusan ini bukan sahaja tidak menghormati identiti budaya tempatan, tetapi juga membawa implikasi negatif terhadap imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Langkah ini boleh menimbulkan persepsi bahawa Malaysia terlalu bergantung dan mudah terpengaruh dengan pengaruh negara China, sekaligus mencetuskan keraguan terhadap kedaulatan budaya kita.
Lebih membimbangkan, ia berpotensi menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.
Rakyat mungkin melihat keputusan ini sebagai tidak adil, terutamanya jika budaya lain dalam negara tidak diberikan perhatian yang sama.
Sebagai sebuah negara yang kaya dengan tradisi tempatan, tanggungjawab Menteri Pelancongan adalah untuk memperkukuh dan menonjolkan identiti budaya Malaysia, bukan mengutamakan budaya negara asing.
Penonjolan budaya China secara berlebihan ini memberi gambaran bahawa budaya tempatan, khususnya budaya Melayu yang menjadi tunjang identiti negara, telah diabaikan.
Terdahulu, Tiong juga telah mengabaikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan apabila mempersoalkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai dominasi tulisan Cina pada papan tanda di kompleks membeli-belah baharu di Kuala Lumpur.
Pendekatan ini jelas menunjukkan kecenderungan untuk mengutamakan sensitiviti pihak luar berbanding memelihara identiti nasional dan memartabatkan peranan Bahasa Malaysia.
Dalam satu insiden lain, pelancong dari China telah mengibarkan bendera negara mereka semasa acara kebudayaan di Teluk Intan. Tiong menyatakan bahawa reaksi terhadap tindakan tersebut adalah berlebihan dan boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Namun, pendekatan ini memperlihatkan sikap toleransi yang keterlaluan terhadap tindakan yang boleh dianggap tidak sensitif terhadap kedaulatan negara dan perasaan rakyat tempatan.
Keseluruhan tindakan dan kenyataan Tiong menimbulkan persoalan serius tentang keutamaan beliau dalam memelihara warisan dan identiti tempatan.
Sebagai pemimpin, beliau seharusnya menjadi benteng kepada warisan budaya Malaysia, bukan membiarkan keunikan dan kedaulatan budaya negara ini terpinggir demi kepentingan pihak luar.
— BebasNews
No comments
Post a Comment
Stay Tuned~