Responsive Ad Slot

Showing posts with label Gabungan UEM Sunrise Ecoworld. Show all posts
Showing posts with label Gabungan UEM Sunrise Ecoworld. Show all posts

ADALAH SATU JENAYAH UNTUK KERAJAAN MELULUSKAN CADANGAN YANG MERUGIKAN RAKYAT.

ADALAH MENJADI SATU JENAYAH UNTUK KERAJAAN MELULUSKAN CADANGAN PENGGABUNGAN UEM SUNRISE DENGAN ECO WORLD YANG MEMANG AKAN MERUGIKAN RAKYAT. 


Kita sedia maklum cadangan penggabungan UEM Sunrise dan ECO World telah mula digerakkan semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke 7 lagi tetapi cadangan itu ditolak oleh Tun Dr Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan. Usaha penggabungan kedua-dua buah syarikat ini telah dicadangkan sekali lagi kepada kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini.

 

Kalau cadangan ini telah ditolak di zaman pemerintahan Perdana Menteri ke 7 semasa situasi kewangan negara yang tidak memberangsangkan, cadangan ini seharusnya juga perlu ditolak dengan lebih keras pada waktu ini dalam kemerosotan ekonomi yang lebih tenat disebabkan wabak Covid-19 dan ketidakstabilan serta ketidaktentuan nilai hartanah. Sektor hartanah merupakan salah satu sektor yang paling teruk terjejas disebabkan gejala wabak pandemik Covid-19.

 

Cadangan penggabungan ini yang pernah dikaitkan dengan tuduhan kronisme terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Dengan cadangan untuk meneruskan penggabungan ini, telah terbukti bahawa tuduhan tersebut adalah tidak benar dan ianya merupakan satu inisiatif berterusan pihak Khazanah sendiri yang kini disokong oleh pentadbiran Perikatan Nasional.

 

Adalah tidak wajar untuk kerajaan Perikatan Nasional meluluskan penggabungan UEM Sunrise dan ECO World untuk menjadi syarikat gergasi kedua terbesar (dari segi pegangan saiz tanah) tanpa mempunyai pegangan majoriti dan hanya akan memiliki 48% pegangan saham dalam UEM Sunrise; turun dari 66%.

 

Keutamaan kerajaan sepatutnya diberi untuk menjamin pekerjaan seperti pekerja di syarikat penerbangan MAS, Airasia dan lain-lain yang lebih terjejas dengan keadaan semasa bukan untuk menjamin pemegang saham pemaju perumahan mewah yang dibelenggu pinjaman berbilion disebabkan lebihan hartanah yang tak terjual. Lebih RM200 juta wang rakyat dibelanjakan untuk pembatalan projek perumahan PR1M dan tindakan itu seolah-olah wang rakyat cukup senang dibelanjakan.

 

Pada waktu ini, nilai hartanah yang semakin merosot dan dijangka akan lebih merundum, jumlah rumah dan hartanah mewah yang tak terjual semakin terkumpul serta peratusan pembeli dan syarikat korporat yang terjejas akibat wabak Covid-19  semakin membengkak. Ketika mana Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Hjh Zuraida Kamaruddin menegaskan pemaju rumah mewah tidak akan dibantu kerajaan dan akan dikenakan cukai pengosongan ‘Vacancy Tax’ pada masa hadapan, Khazanah menghulurkan bantuan kepada ECO World yang mempunyai lebihan rumah dan hartanah tak terjual yang tinggi, pinjaman yang tinggi bersamaan RM3.6 billion dan aliran tunai yang rendah RM30juta.

 

Pada masa yang sama, UEM Sunrise pula mempunyai aliran tunai yang tinggi bersamaan dengan RM700juta dan jumlah pinjaman yang rendah. Status kewangan dan aset UEM Sunrise yang lebih kukuh ini dilihat seolah-olah digunakan untuk menutup beban hutang pinjaman syarikat ECO World dan juga hartanahnya yang tidak terjual.

 

Kesan pada sektor perumahan juga akan lebih dirasai pada awal tahun 2021 iaitu beberapa bulan selepas berakhirnya moratorium pinjaman dan apabila peratusan NPL dalam laporan CCRIS dan CTOS mula dikemaskini.

 

Cadangan penggabungan itu juga meletakkan nilai UEM Sunrise pada nilai RM1.8 billion tetapi nilai itu tidak mengambil kira nilai pasaran semasa iaitu penilaian RM60/kaki persegi untuk 5,000 ekar tanah di Iskandar berbanding dengan nilai dibeli hanya RM10/kaki persegi pada tahun 1995. Jika diambil kira, nilai saham UEM Sunrise sepatutnya mencecah lebih RM10 billion. Ini memberi keuntungan yang lebih memihak kepada pemegang saham ECO World yang akan memegang saham 24% UEM Sunrise selepas penggabungan.

 

Pemegang Saham ECO World juga akan mendapat manfaat dari akses dan jaminan wang rakyat melalui Khazanah dan dapat berlindung disebalik jaminan-kegagalan dari kerajaan. Semua GLC seperti syarikat penerbangan nasional, MAS yang gagal dibawah pentadbiran lembaga pengarah yang dilantik oleh Khazanah tidak pernah dihadapkan ke mahkamah tetapi disuntik lagi dengan berbilion duit rakyat sebagai “recovery plan”.

 

Keputusan UEM mengambil alih Sunrise pada suatu ketika dahulu pun merupakan satu keputusan yang tidak tepat. Kini, UEM kembali membuat satu lagi keputusan yang bakal membahayakan dana pembayar cukai.

 

Pembaziran dan keputusan yang membabitkan kehilangan atau kerugian besar wang rakyat patut diklasifikasikan sebagai satu jenayah.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Ahli Jawatankuasa Pusat Penaja Parti Pejuang Tanahair (Pejuang)

 

www.arminbaniaz.com

© all rights reserved
made with by templateszoo