SELAMATKAN
MALAYSIA SIRI 5 - KERAJAAN PERPADUAN PENYELESAIAN KRISIS
Oleh: Armin Baniaz Pahamin
1. Kadar pengangguran telah
dicatatkan hampir mencecah 1 juta dan dianggar akan meningkat dengan lebih mendadak
pada tahun hadapan. Sekitar jalan masuk ke rumah saya di Sungai Penchala,
kelihatan banyak penjaja-penjaja baru menjual makanan, buah-buahan,
sayur-sayuran, air, burger dan pelbagai lagi. Ia tanda rakyat sudah semakin
terdesak mencari pendapatan alternatif. Di kawasan lain, pramugara yang
kehilangan pekerjaan pula membuka gerai menjual kuew teow goreng.
2. Ada juga kenalan membawa masuk dan menjual ikan bilis dari
Sabah dengan membuka bonet kereta di tepi jalan untuk mencari rezeki yang
halal. Beliau kehilangan kerja.
3. Kita bukan sahaja dilanda masalah pengangguran, tetapi
sektor hartanah juga amat terjejas. Prestasi pasaran harta tanah kediaman
mencatatkan penurunan mendadak pada separuh pertama 2020 (H1 2020) berbanding
tempoh yang sama tahun lalu (H1 2019). Hartanah kediaman tidak terjual terus
meningkat dengan jumlah 31,661 unit siap dibina tidak terjual. Setiap pemaju
tanah menggunakan pinjaman bank untuk menyiapkan projek perumahan. Setiap rumah
tidak terjual akan mengeringkan aliran tunai sesebuah syarikat dengan
pembayaran faedah kepada bank.
4. Hartanah komersial mengalami masalah penghunian dengan
hanya 74.3% dari 22.95 juta meter persegi (2,548 bangunan) mempunyai penghuni.
Ini, sebelum penambahan 2.25 juta meter persegi lagi dari 48 bangunan baru yang
akan siap dan dilancarkan tidak lama lagi. Dimerata tempat kita melihat pelekat
iklan ‘untuk disewa/dijual’ ditampal di rumah, kondominium, rumah-kedai dan
ruang pejabat yang kosong.
5. Walaupun hartanah komersial atau kediaman kosong dan tiada
penyewa, pemilik terpaksa membayar ansuran pinjaman kepada bank. Dengan
prestasi ekonomi negara yang menguncup pada kadar 17.1%, dikhuatiri pemilik
hartanah terpaksa melelong jual hartanah mereka untuk mengelak dari
diisytiharkan bankrap oleh bank. Ramai penyewa juga menamatkan perjanjian sewa
apabila bisness mereka terjejas akibat keadaan ekonomi dan sesetengah mereka
menyahut cadangan kerajaan untuk bekerja dari rumah.
6. Sektor automotif secara keseluruhan juga terjejas dengan
keadaan ekonomi yang merudum dan akibat Covid-19. MAA menyasarkan prestasi
jualan kereta baru akan jatuh tahun ini sebanyak 22% kepada 470,000 unit
daripada 604,000 unit pada tahun 2019.
7. 8 juta peminjam individu dan syarikat yang mendapat
manfaat dari moratorium pinjaman kini terumbang-ambing. Kesan ketara akan
dirasai pada awal tahun 2021.
8. 70 menteri kabinet telah dilantik dan hampir seratus
pengurusan tertinggi agensi, badan kerajaan dan GLC telah ditukar. Tetapi
keadaan semakin bertambah parah bukan sebaliknya.
9. Rakyat mengambil maklum dan taat dengan titah KDYMM SPB
Yang di-Pertuan Agong supaya satu kerjasama perpaduan dibentuk. Titah Tuanku
adalah untuk semua ahli Dewan Rakyat menyokong usul belanjawan tanpa mengira
parti atau berpihak kepada kepentingan politik, seumpama satu endorsement atau
sokongan kepada kerajaan perpaduan.
10. Konsep
kerajaan perpaduan ini pertama kalinya dicadang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad
pada bulan Februari lalu. Kini, ramai penganalisa politik seperti Associate
Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, Mantan YDP Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin,
pengamal undang-undang dan veteran-veteran politik juga telah memberi sokongan
kepada kerajaan perpaduan.
11. Permintaan kami rakyat marhaen supaya pucuk pimpinan
diterajui oleh seorang yang berpengalaman dalam menangani krisis sedahsyat ini.
Dalam sejarah Malaysia, hanya seorang pemimpin sahaja yang pernah menyelamatkan
Malaysia dari krisis yang mampu meranapkan ekonomi Malaysia dan hampir dijajah
oleh IMF.
12. Tiuplah semboyan untuk Tun Dr Mahathir kembali menerajui
satu kerajaan perpaduan demi masa depan negara. Sekurang-kurangnya sehingga
wabak pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi dapat diatasi dan Parlimen dapat
dibubarkan.
ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.
#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan
Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp
Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2
Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW
Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB