Responsive Ad Slot

Showing posts with label pejuang. Show all posts
Showing posts with label pejuang. Show all posts

EKONOMI DAN MASA DEPAN ORANG-ORANG MELAYU LEBIH TERPELIHARA DIBAWAH GTA

 EKONOMI DAN MASA DEPAN ORANG-ORANG MELAYU LEBIH TERPELIHARA DIBAWAH GTA

  1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan jelas membuktikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak faham konsep dan matlamat penubuhan Gerakan Tanah Air tetapi lebih memberi fokus kepada pegangan kuasa, isu politik dan menyokong perasuah-perasuah dan penyalahguna kuasa.

  2. Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)di SMK Sultan Ismail. Mengikut beliau, Parti PAS tidak akan menyertai GTA dengan alasan GTA bukanlah daripada parti dominan dan telah pun mempunyai gabungan sendiri.

  3. GTA adalah gerakan orang-orang Melayu untuk mengubah nasib dan masa depan bangsa Melayu dan bukanlah satu permainan politik. Kemiskinan pasca pandemik adalah satu realiti dan hakikat yang perlu diterima dan diatasi, dan ia tidak mungkin akan selesai dengan sendirinya tanpa wawasan dan tindakan oleh kerajaan.

  4. Kalau Parti PAS mengutamakan ekonomi dan masa depan orang-orang Melayu, Parti PAS harus bersama dengan GTA dan bersama untuk mengubah landskap ekonomi bangsa Melayu.

  5. Di Kelantan negeri yang diterajui oleh Parti PAS, kitaran kemiskinan amat nyata dan tiada penyelesaian. Kebanyakan generasi-generasi muda terhindar dari kemajuan akibat kemiskinan. Anak-anak di bangku sekolah terpaksa membantu ibu dan bapa berniaga untuk mencari sesuap nasi dan tidak dapat memberi fokus dan tumpuan kepada sekolah dan pembelajaran. Ramai yang tidak sempat tamat pelajaran sekolah menengah atau tamat dengan keputusan peperiksaan yang lemah.

  6. Tanpa pengajian tinggi, anak-anak mereka akan mengalami nasib yang sama seperti ibu bapa mereka dan kitaran ini akan berterusan ke generasi-generasi akan datang.

  7. Struktur dan halatuju ekonomi negeri Kelantan juga tidak dapat menjana pendapatan kepada kerajaan negeri dan tidak dapat menjana permintaan untuk mewujudkan pekerjaan atau ekosistem perniagaan. Kerajaan Negeri terpaksa menggadai tanah-tanah balak dan mengeluarkan permit-permit menjual pasir yang tidak menguntungkan negeri Kelantan.

  8. Pentadbiran kerajaan negeri juga mengambil langkah yang mudah untuk mentadbir dengan menswastakan tempat letak kenderaan dengan caj bayaran dan denda yang jauh lebih tinggi dari negeri-negeri yang lebih maju. Caj-caj dan bayaran denda ini juga tidak menguntungkan kerajaan negeri tetapi lebih menguntungkan syarikat swasta itu dan

UNTUK EDARAN SEGERA

membebankan rakyat. Penswastaan ini juga mengurangkan peluang kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan hasil yang lebih.

  1. Peratusan tanah rizab Melayu di negeri Kelantan adalah yang tertinggi berbanding negeri- negeri lain. Walaubagaimanapun, kami risau apabila menerima laporan tanah-tanah rizab Melayu ini dengan jumlah yang agak besar, telah di pajak kepada golongan bukan Melayu dan bukan dari orang tempatan. Dengan jumlah tanah yang dipajak kepada golongan bukan Melayu dan bukan tempatan, peluang untuk orang-orang Melayu menjana pendapatan dari tanah-tanah negeri Kelantan semakin tipis.

  2. Oleh sebab itu, memartabatkan kuasa pembeli dan ekonomi orang-orang Melayu menjadi salah satu dari matlamat utama gerakan orang-orang Melayu di bawah GTA. Prinsip bersih, cekap dan amanah akan memastikan perlaksanaan yang telus tanpa rasuah, salah guna kuasa dan lebih berkesan. Penyatuan orang-rang Melayu termasuk ahli dan penyokong PAS dalam memperjuangkan ekonomi dan taraf hidup orang-orang Melayu akan lebih menjamin perubahan terutamanya dari segi struktur ekonomi.

  3. GTA juga di sertai oleh individu-individu dan NGO-NGO Melayu dari berbagai kluster. Pembabitan NGO dari 12 kluster berlainan ini dapat memberi impak yang besar kerana NGO tersebut adalah pihak yang punyai kepakaran yang relevan dan lebih peka kepada keperluan dan isu-isu industri. Kalau kebiasaannya NGO terpaksa membentangkan masalah mereka kepada Kementerian-Kementerian untuk dipertimbangkan, melalui GTA mereka akan menjadi sebahagian dari pembuat dasar. Ini akan menjadi pemangkin kepada struktur ekonomi baru yang akan diperkenalkan.

  4. Kami percaya ahli dan penyokong PAS juga sudah bosan dengan masalah air di Kelantan dan Kedah, dan mahukan sebuah Kerajaan yang mampu menanganinya. Jelas Kerajaan Negeri pimpinan PAS gagal untuk menggalas tanggungjawab ini.

  5. Perubahan hanya boleh berlaku melalui gerakan orang-orang Melayu yang bersatu.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Ahli Majlis Eksekutif Pusat |
Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti Pejuang Tanahair 13.09.2022





SEGERAKAN SIASATAN GESA PEJUANG KEPADA TAN SRI NOH OMAR

SEGERAKAN SIASATAN GESA PEJUANG KEPADA TAN SRI NOH OMAR SELAKU MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI


1. Parti Pejuang Tanahair menggesa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk segera mengambil tindakan dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas untuk menyiasat dakwaan terbaru dan semua dakwaan salah laku pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia.


2. Pada 26 Ogos 2022, pihak kami telah menerima satu laporan melalui pautan umum yang mendakwa timbul isu penyelewengan wang rakyat Amanah Ikhtiar Malaysia dan Koop Sahabat berhubung projek balak di Hutan Simpan Berkelah Jerantut Pahang 6,591.7 ekar bernilai RM40,738,520.00 dengan sebuah Yayasan di Pahang.


3. Projek balak tersebut didakwa tidak wujud tetapi bayaran telah dibuat. Projek itu sepatutnya mendapat pulangan RM7.0 juta sejak tahun 2018 tetapi sebaliknya Syarikat Gemalai Plantation Sdn Bhd (GEMALAI PRIMARY INDUSTRY SDN. BHD) terus rugi sehingga tahun 2021.


4. Parti Pejuang Tanahair telah mengeluarkan dua kenyataan media pada 11 Oktober 2021 dan 8 November 2021 untuk menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat dakwaan salahlaku pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia berdasarkan laporan-laporan yang kami terima. 


5. Sehingga kini, tiada tindakan diambil oleh kerajaan mahupun Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang bertanggung jawab keatas Amanah Ikhtiar Malaysia. 


6. Sebaliknya saya di saman pada 17 Februari 2022 oleh Amanah Ikhtiar Malaysia melalui peguamnya Tetuan Kamarudin & Partners yang tentunya dibawah arahan mereka yang didakwa terlibat.


7. Dengan dakwaan terbaru ini, kami menggesa YB Tan Sri Noh Omar selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas dan bekerjasama dengan SPRM dan PDRM untuk mempastikan segala dakwaan penyelewengan dan salah laku di kenalpasti dan nama baik institusi Amanah Ikhtiar Malaysia dapat di bersihkan


ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Pimpinan Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Pejuang

29.08.2022 




RAKYAT HARUS MENILAI DASAR EKONOMI PARTI-PARTI POLITIK PADA PILIHANRAYA UMUM KE 15

DASAR-DASAR EKONOMI HARUS MENJADI KEUTAMAAN PADA PILIHANRAYA UMUM.

1. Kuala Lumpur. Pilihanraya Umum ke 15 adalah penentu kepada masa depan ekonomi negara dan rakyat harus peka dan cakna terhadap dasar-dasar dan polisi parti-parti politik. Dasar-dasar ekonomi parti politik harus menjadi keutamaan kepada pengundi semasa pilihanraya umum ke 15 nanti.
2. Dasar-dasar yang akan diperkenalkan dan perlaksanaan dasar tersebut menjadi tunggak kepada struktur ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia kembali sebagai Harimau Asia dan ini hanya boleh tercapai dengan memilih calon Perdana Menteri yang berkemampuan berdasarkan wawasan dan pengalaman.
3. Kemerosotan ekonomi Malaysia semakin tidak terkawal dengan kenaikan harga barangan, matawang yang semakin susut nilai, pengangguran yang meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang semakin terkebelakang berbanding dengan negara-negara jiran dan negara Asia lain.
4. Walaupun pembangunan ekonomi adalah sasaran tetapi ianya akan lebih bermakna apabila rakyat mendapat manfaat dari pembangunan tersebut. Pembangunan ekonomi sekarang banyak memberi manfaat kepada pelabur luar dan kurang memberi fokus terhadap perlaksanaan dasar- dasar untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berdaya saing.
5. Ini terbukti dengan kemerosotan pemilikan ekuiti Bumiputera dari 23.4% pada 2011 kepada 17.2% berasaskan nilai pasaran tahun 2019. Pegangan asing pula meningkat dari 37.2% kepada 45.5%. Pegangan ekuiti bukan Bumiputera juga jatuh dari 34.8% kepada 25% (namaan 12.3%). Bukan sahaja bangsa Melayu tetapi rakyat bukan Bumiputera juga tidak mendapat manfaat terutamanya akibat dari perlaksanaan dasar yang lemah.
6. Peratusan pemilikan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 12% dan semakin mengecil. Kami risau Tanah Rizab Melayu akan pupus menjelang tahun 2050. Terbaru, tanah rizab Melayu di Kampung Sungai Baru di paksa jual dengan harga yang zalim. Dasar-dasar seperti ini merugikan orang Melayu dan tidak akan memberi manfaat dalam memperkukuhkan ekonomi bangsa Melayu yang semakin miskin di bawah pentadbiran kerajaan Melayu.
7. Peratusan pembabitan Bumiputera dalam berbagai industri juga semakin menguncup. Sebagai contoh, peratusan Bumiputera dalam rangkaian pengedar kereta nasional Proton juga telah jatuh kurang dari 20% dari lebih 60% beberapa tahun yang lepas.
8. Pemilikan Bumiputera dalam perusahaan industri kecil pula berjumlah 37% tetapi 88% dari jumlah itu berada di tahap usahawan mikro iaitu syarikat yang mempunyai jualan kurang dari RM300,000 setahun dan mempunyai kurang dari 5 orang pekerja. Bantuan dan penyampaian bantuan yang lebih efektif dan mudah perlu disalurkan kepada perniagaan mikro untuk mengembang dan melonjakkan mereka ke tahap industri kecil.
9. Malaysia memerlukan reset halatuju ekonomi supaya industri-industri utama negara dapat di manfaatkan kepada lebih banyak usahawan tempatan dan ini hanya boleh berlaku semasa pilihanraya umum ke 15. Rakyat harus lebih cakna dan pandai menilai dasar-dasar Parti Politik semasa pilihanraya dan bukan memilih mengikut nafsu.
10. Yang pasti pemimpin yang korup dan terpalit dengan rasuah harus ditolak sama sekali demi masa depan negara. Parti Pejuang Tanahair ditubuhkan bukan untuk melawan rakyat bukan Bumiputera tetapi untuk melawan pemimpin Melayu yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa. Ini tentunya akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat keseluruhan dan bukan sahaja kepada bangsa Melayu.
ARMIN BANIAZ PAHAMIN
Pimpinan Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti PEJUANG Tanahair
01.08.2022



STRUKTUR EKONOMI NEGARA TIADA HALA TUJU JELAS DAN PERLU DI UBAH


KENYATAAN MEDIA

AHLI MAJLIS EKSEKUTIF PUSAT | PENGERUSI BIRO EKONOMI MALAYSIA

 

MALAYSIA PERLU MENSTRUKTUR SEMULA EKONOMI 

 

1.     PETALING JAYA. Parti Pejuang Tanahair berpendapat hala tuju dan ekonomi negara perlu distrukturkan semula supaya ekonomi negara dapat mewujudkan kembali berbagai permintaan barangan dan pekerjaan yang boleh memulihkan negara dari kemelesetan ekonomi. Ukuran untuk inflasi dan kemiskinan juga perlu dikemaskini kerana ianya tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat yang semakin terdesak dalam mengharungi kehidupan seharian.

 

2.     Terkini, 288,000 rakyat Malaysia telah di isytihar muflis setakat bulan Februari 2022, 50,000 kontraktor telah gulung tikar dan 1.5 juta rakyat tergolong dalam kategori B5 yang dikenali sebagai ‘economically dead’ atau miskin tegar iaitu golongan yang tiada pendapatan, tabung simpanan dan tidak dapat meneruskan kehidupan harian.

 

3.     Keadaan negara yang juga tidak dapat mengawal nilai mata wang ringgit dari terus merosot, harga barang yang semakin mahal dan ura-ura kadar faedah OPR akan dinaikkan, akan terus membebankan lagi kesejahteraan rakyat.

 

4.     Masalah kemiskinan dan juga masalah pengangguran di negara kita berpunca dari struktur ekonomi yang tidak dipandu dengan baik dari segi hala tuju dan juga perlaksanaan. Malaysia gagal mencapai negara perindustrian seperti sasaran wawasan 2020 dan dengan industri perindustrian yang belum matang ini, hala tuju ekonomi telah dipandu-ubah, lebih menghala ke sektor perkhidmatan. 

 

5.     Akibatnya jurang kenaikan gaji bagi sektor-sektor tertentu seperti perkilangan, semakin meningkat dan ini  terbukti apabila ramai graduan profesional seperti jurutera tidak mendapat gaji setimpal dengan latar-belakang akademik, pengalaman dan tugas kerjanya. Jurutera siswazah dilaporkan menerima gaji statik dan tidak berubah semenjak hampir 20 tahun.

 

6.     Jurang terbesar peningkatan produktiviti berbanding dengan kenaikan gaji pekerja dalam sektor perkhidmatan adalah yang paling ketara. Lebih merisaukan semenjak tahun 2020 dan pasca pandemik, sektor perkhidmatan telah menunjukkan peningkatan produktiviti yang tinggi tetapi gaji pekerja yang dibayar semakin merosot. 


7.     Ini menyumbang kepada jumlah kemiskinan yang semakin meruncing dan ianya hanya boleh diselesaikan melalui penstrukturan semula ekonomi. Penstrukturan semula ekonomi untuk menyelesaikan masalah kemiskinan akan mengambil kira faktor-faktor seperti:

 

i.       Keselamatan makanan, 

ii.     Akses kepada pendidikan percuma yang berkualiti untuk masa depan negara; 

iii.    Perumahan mampu milik khususnya mereka dalam golongan B40; 

iv.    penstrukturan semula pendidikan untuk membuka peluang pekerjaan berpandukan permintaan ekonomi; dan 

v.     Teknologi 

 

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Ahli Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia 

Parti PEJUANG Tanahair 

04.07.2022





 

Majlis Pelancaran Jentera & Pelancaran Lagu Pejuang



Majlis yang penuh emosi. Ucapan Pembakar semangat terbaik oleh YB Dato Seri Utama Mukhriz Mahathir, Dato Wira Marzuki Yahya dan YB Dato Dr Shahrudin. 
Closing majlis dengan pelancaran lagu Pejuang. Program hari ni memang terbaik. Syabas penganjur.

Jelajah MEP ke Kota Bharu, Kelantan. Walkabout di Pasar Siti Khadijah bersama Jentera Pejuang Kelantan

Jelajah MEP ke Kota Bharu | Walkabout di Pasar Siti Khadijah 

Dengan konvoi 8 kenderaan dan 5 motorsikal, kami berangkat ke Pasar Siti Khadijah. Rata-rata terdapat banyak bangunan kosong terbengkalai. Banyak bangunan langsung tidak dihuni. Banyak pasar raya dan hotel terus tutup. Keadaan dan suasana Kota Bharu amat lengang dan kurang meriah kemungkinan kesan akibat Covid-19.

Tibanya kami di Pasar Siti Khadijah yang menjadi tumpuan ramai pelancong dan juga rakyat tempatan, kami berjalan jalan dalam pasar sambil bertemu bual dan bertanyakan khabar peniaga-peniaga kecil dijalanan dan peniaga dalam pasar.

Saya juga berkesempatan berbicara berbual mesra bersama dua belas presiden dan wakil-wakil persatuan-persatuan peniaga di Pasar Khadijah. Banyak keluhan disampaikan oleh peniaga-peniaga melayu. Kelangsungan hidup mereka amat terjejas akibat pandemik.

Jelajah MEP ke Kota Bharu (part 2) | Walkabout di Pasar Besar Siti Khadijah

 Jelajah MEP ke Kota Bharu (part 2) | Walkabout di Pasar Besar Siti Khadijah

Dengan konvoi 8 kenderaan dan 5 motorsikal jentera Pejuang Kota Bharu, kami berangkat ke Pasar Siti Khadijah. Saya bersama Norasikim Yusof Penyelaras Parlimen Pejuanita Kota Bharu, Farid Fakhrullah bin Abdul Samad Penyelaras Pejuang Muda Kota Bharu dan Abdul Muthalib dari pasukan Biro Ekonomi Pusat Pejuang dalam satu kereta. Dato Sazmi Miah Ketua Majlis Pimpinan Negeri Kelantan dan Tuan Nor Alinordin bin Yaman Penyelaras SPP Parlimen Kota Bharu di Kereta hadapan mengetuai rombongan konvoi.
Dalam perjalanan, rata-rata terdapat banyak bangunan kosong terbengkalai. Banyak bangunan langsung tidak dihuni. Banyak pasar raya dan hotel terus tutup. Keadaan dan suasana Kota Bharu amat lengang dan kurang meriah kemungkinan kesan akibat Covid-19.

Jelajah Pimpinan Pusat ke Kota Bharu Kelantan (Part 1) | Berkumpul di Ayang Cafe

Jelajah MEP ke Kota Bharu (part 1) | Berkumpul di Ayang Cafe

Pada hari Sabtu saya balik ke Kelantan untuk merapatkan silaturahim bersama jentera parlimen Kota Bharu serta mendapat maklumbalas masyarakat dalam mengharungi pandemik. Sesampai saya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, saya di sambut oleh Penyelaras Pejuanita Kota Bharu merangkap Pengerusi Biro Ekonomi Pejuang Kelantan Cik Norasikim Yusof dan Farid Fakrullah Bin Abdul Samad Penyelaras Pejuang Muda Kota Bharu. Bersama saya, Abdul Muthalib Zulkarnain, pasukan saya dari Biro Ekonomi Pusat Pejuang.
Kami kemudiannya tiba di Ayang Cafe dimana lebih 30 puluh jentera-jentera Pejuang kota Bharu telah berkumpul. Kami disambut oleh Dato Sazmi Miah selaku Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan dan jawatankuasa MPN. 7 orang dari pasukan saya di Biro ekonomi Pusat yang dipimpin oleh Tuan Mohd Norsharryadi Shaarai yang datang dengan kereta telah juga sampai lebih awal.

RATIFIKASI CPTPP HANYA JADI LIABILITI KEPADA NEGARA - ARMIN PEJUANG

RATIFIKASI CPTPP HANYA JADI LIABILITI KEPADA NEGARA - PEJUANG | Oleh Wartawan MalaysiaGazette - 29 October 2021
“Ratifikasi CPTPP hanya jadi liabiliti kepada negara - Pejuang”
KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menolak sekeras-kerasnya ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Kerjasana Trans Pasifik (CPTPP)) setelah mendapati terma dan syarat perjanjian ini bertentangan dengan perlembagaan, undang-undang dan hala tuju negara.
CPTPP juga akan menjadi satu liabiliti kepada negara pada masa hadapan dengan membolehkan syarikat swasta negara asing untuk menyaman kerajaan Malaysia berbilion ringgit di atas pelbagai sebab walaupun ianya bertentangan dengan dasar-dasar, akta-akta dan perlembagaan negara.
Pengerusi Biro Ekonomi Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata, penolakan itu berdasarkan 3 faktor utama dengan faktor pertama merupakan dasar senarai negatif perjanjian CPTPP yang meliberalisasikan semua sektor termasuk pengliberalisasian perolehan kerajaan dan hanya tidak meliberalisasikan sektor yang dimasukkan secara rasmi dengan bertulis dalam senarai negatif mengikut perjanjian.
”Adalah mustahil untuk sesebuah kerajaan menyenarai dengan penuh dan lengkap semua sektorsektor yang perlu di kecualikan dan tanpa senarai yang lengkap, ianya boleh meninggalkan impak kerugian yang besar kepada industri khususnya industri mikro, kecil dan sederhana.

KERAJAAN PERLU MENJELASKAN TUDUHAN-TUDUHAN RASUAH YANG DIKENAKAN TERHADAP AUGUSTUS RALPH MARSHALL

 

KENYATAAN MEDIA
BIRO EKONOMI PARTI PEJUANG TANAHAIR
4 MAC 2021

KERAJAAN PERLU MENJELASKAN TUDUHAN-TUDUHAN RASUAH YANG DIKENAKAN TERHADAP AUGUSTUS RALPH MARSHALL

1. Pada 1 Mac 2020, Kementerian Kewangan telah mengumumkan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan menerajui syarikat tujuan khas, Digital National Berhad (DNB) bagi melaksanakan infrastruktur dan jaringan teknologi 5G di seluruh negara.

2. Di dalam pengumuman tersebut, Kementerian Kewangan telah melantik Augustus Ralph Marshall sebagai Ketua Pegawai Eksekutif DNB yang akan menerima peruntukkan sebanyak RM15 bilion daripada kerajaan.

3. Pada 29 Mac 2012, Jakarta Post memaparkan permintaan dari Kepolisian Negara Repulik Indonesia untuk Interpol mengeluarkan notis merah penangkapan Augustus Ralph Marshall di atas penggunaan dana secara haram membabitkan sebuah syarikat di Indonesia. Meskipun kes tersebut telah diselesaikan, namun butir-butir samada kes ini telah diselesaikan melalui keputusan mahkamah atau luar mahkamah masih tidak diketahui.

4. Pada 24 September 2016, Bloomberg juga menerbitkan berita bahawa Mahkamah India telah mengeluarkan waran tangkap untuk Augustus Ralph Marshall berhubung kes rasuah membabitkan lesen telefon.

MESYUARAT MAJLIS EKSEKUTIF PUSAT PEJUANG KE 26

 

04.03.2021, Khamis. Mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG (Penaja) ke 26 berjalan lancar hari ini dan dihadiri oleh lebih 30 ahli MEP, ketua unit, Ketua Jabatan dalaman dan Ketua-ketua pemimpin PEJUANG negeri. YB Tun Pengerusi mengingatkan semua betapa pentingnya pergerakan kita untuk memerangi rasuah, politik wang dan salah guna kuasa. Tun juga mengingatkan semua untuk sentiasa menghayati sumpah dan ikrar yang telah dilafazkan supaya kita tidak senang dipengaruhi nafsu dan tidak berkompromi dengan integriti.

Banyak perkara-perkara dibincangkan dalam mesyuarat yang memakan masa beberapa jam bermula jam 300pm. Mesej yang disampaikan cukup jelas untuk terus memperinci masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat, usahawan-usahawan dan untuk Pejuang menjadi parti pembangkang yang efektif dalam mendokong perjuangan.

PELAN SPV MILIK KERAJAAN UNTUK MEMBANGUNKAN INFRASTRUKTUR 5G BERJUMLAH RM15 BILION AKAN TERDEDAH KEPADA SALAHGUNA KUASA DAN RASUAH

KENYATAAN MEDIA

PELAN SPV MILIK KERAJAAN UNTUK MEMBANGUNKAN INFRASTRUKTUR 5G BERJUMLAH RM15 BILION AKAN TERDEDAH KEPADA SALAHGUNA KUASA DAN RASUAH


28HB FEBRUARI 2021
1. Baru-baru ini, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan inisiatif MyDIGITAL yang bertujuan untuk mencapai beberapa sasaran berteraskan tiga (3) fasa sehingga 2030.
2. Kami mengalu-alukan cadangan membina infrastruktur 5G di seluruh negara untuk membangunkan ekonomi digital dan menjadikan Malaysia salah satu negara termaju dari segi infrastruktur digital. Ini juga boleh membantu syarikat-syarikat teknologi ‘Start-up’ dan ekosistem telekomunikasi untuk lebih berdaya saing.
3. Tetapi dengan perbelanjaan yang cukup besar untuk peningkatan hanya 4.6% dalam jangka masa 5 tahun amat membimbangkan sedangkan sumbangan ekonomi digital telah pun mencapai 18% KDNK (RM270 bilion) dan saiz digital ekonomi global kini berjumlah USD12 trilion.
4. Rancangan kerajaan untuk membina infrastruktur 5G berjumlah RM15 bilion di seluruh negara melalui sebuah entiti khusus ataupun ‘Special Purpose Vehicle’ (SPV) milik kerajaan Malaysia dan bukan melalui proses tender terbuka amat membimbangkan dan mencurigakan. Malah, entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G.

KITA DALAM DARURAT

KITA DALAM DARURAT

Oleh: Armin Baniaz Pahamin


1.  Setiap hari Khamis, 3pm Tun Dr Mahathir akan mempengerusikan Majlis Eksekutif Pusat Pejuang bersama dengan unit-unit & jabatan-jabatan dalaman Pejuang. Berbagai isu dibincang dan dibahaskan. Dalam Mesyuarat MEP yang ke 24 hari ini, isu ketidakstabilan negara, isu pengangguran, isu sosial, kesihatan dan kebajikan rakyat terus hangat dibincangkan. Mesyuarat bersurai beberapa jam kemudian.


2.  Perintah Kawalan Pergerakan tidak menghalang MEP untuk terus bersidang. Kami bersidang melalui Zoom. Kami patuh kepada perintah.


3.  Perincian perbincangan tidak dapat di kongsilah. Disini beberapa perkara yang perlu disentuh.


4.  Situasi negara amat kritikal. Yang kaya boleh membeli kerajaan dah jadi macam cerita hollywood. 2 buah kerajaan di Malaysia telah dibeli. Kerajaan mahu kekal berkuasa tanpa saingan. Parti MUDA, Parti Pejuang terus ditolak. Parti Hindraf dibatalkan. Jangan terperanjat kalau UMNO pun dibatalkan nanti. 


5.  Parlimen masih tidak dibenarkan bersidang walaupun DYMM YDP Agong telah perkenan membenarkan parlimen bersidang. Malah persidangan Majlis Raja-raja juga ditangguh.

Sekeping Kertas Yang Penuh Bermakna.


Sekeping Kertas Yang Penuh Bermakna.
 
Pada suku ketiga tahun lepas saya menerima panggilan dari Pejabat Tun Dr Mahathir mengatakan Tun M ingin bertemu dengan saya. ‘Terkejut badak’ sekejap (Short of a better word). Selama saya memegang jawatan President PEDA hampir 2 dekad, tak pernah Tun memohon untuk berjumpa. Masa Tun M menjadi penasihat dan Pengerusi PROTON pun, kami banyak juga berdialog tetapi tak pernah Tun M meminta untuk berjumpa. Kebiasaannya, kita yang nak berjumpa. jadi saya dengan perasaan bercampur suspen, excited, happy atau confused terus bersetuju untuk berjumpa Tun.
 
Pada hari dan tarikh yang ditetapkan, saya hadir berseorangan untuk berjumpa dengan Tun di Yayasan Al Bukhary tanpa apa-apa persediaan. Sebenarnya, tak tahu nak sedia apa-apa pun. Nak sedia resume atau CV, tak ada la nak minta kerja. Nak sedia memorandum, saya dah lepaskan jawatan Presiden PEDA. Nak minta project, tak ada project yang nak minta pun. 
 
Bila bertanya dengan pejabat Tun, depa pun tak tahu. Depa kata Tun nak berjumpa sahaja, agenda atau maklumat tidak diberitahu.
 

SELAMATKAN MALAYSIA – SIRI 9: SUARA RAKYAT SEMAKIN PUDAR

 

SELAMATKAN MALAYSIA – SIRI 9

SUARA RAKYAT SEMAKIN PUDAR
Oleh: Armin Baniaz Pahamin


1.    Setiap kali nama Tun Dr Mahathir disebut, netizen yang di pengaruhi laskar maya (cyber-trooper) yang dibayar, menggelepar dengan riak dan ghairah macam orang hilang pedoman. Tanpa rasa malu mengutuk, mencaci dan melemparkan fitnah yang berterusan di media sosial.

2.    Tun Dr Mahathir bersama 3 ahli parlimen bebas; dibawah Parti Pejuang, hanyalah 4 orang ahli parlimen.

3.    4 ahli parlimen dalam 222 jumlah keseluruhan ahli Dewan Rakyat tidak boleh menentukan apa-apa keputusan di dalam Dewan Rakyat.

4.    Dengan hanya 4 orang ahli parlimen tidak mungkin boleh menubuhkan sebuah kerajaan, jauh sekali untuk Tun Dr Mahathir kembali menjadi seorang Perdana Menteri.

5.    Tetapi 4 ahli parlimen Pejuang ini tetap bersuara mendaftar Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri ke-8.

6.    4 wakil rakyat ini terus bersuara menentang perisytiharan darurat oleh PM-8 untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

7.    4 wakil rakyat ini terus menentang penyalahguna kuasa dengan ikrar janji untuk meneliti dan memperhalusi belanjawan yang akan dibentang bagi melindungi wang rakyat dan had pinjaman hutang negara.

8.    4 Wakil rakyat ini jugalah yang membantah saman pemula yang difailkan Syed Iskandar Syed Jaafar berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong, yang dituduh tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

9.    Wakil rakyat ini jugalah yang berani membidas Presiden Perancis, Emmanuel Macron di atas kenyataannya menghina umat Islam dan Rasulullah SAW kononnya atas hak kebebasan bersuara.

10.    Usul dan isu itu didaftar supaya mesej rakyat dapat didengar. Mesej rakyat yang menolak pemerintah tanpa mandat, pemerintah yang memanipulasi sokongan dan menipu KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang kita hormati dan sanjungi.

11.    Suara dari Tun Dr Mahathir dan Pejuang diperlukan kerana suara rakyat yang diwakilkan kepada wakil-wakil ahli Dewan Rakyat yang lain semakin pudar.

12.    Pendirian rakyat tetap sama tetapi sayangnya suara dari wakil mereka semakin lenyap kecuali suara dari 4 ahli parlimen di bawah parti Pejuang.

13.    4 orang wakil rakyat ini juga tidak dijemput semasa perbincangan untuk menghadkan jumlah kepada 80 ahli parlimen sahaja di dalam Dewan Rakyat. Tetapi wakil-wakil parti Pembangkang lain dijemput hadir.

14.    Yang peliknya, wakil rakyat dari gabungan yang kononnya ada ‘formidable & convicing majority’ pun dilaporkan bersetuju untuk ditarik peluang untuk bersuara dalam kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

15.    Mungkin kerana elaun dan gaji tetap dibayar tanpa dipotong; walaupun tidak perlu masuk ke dewan dan waktu persidangan dipendekkan (kerja ‘half-day’). Makan gaji buta.

16.    Mungkin juga kerana ada janji manis kerajaan dengan parti lawan melalui ‘Supply & Confidence Agreement’ yang mencapai RM 3 juta. Duit memang terbukti berupaya mengubat penyakit mulut yang suka bertutur dan bertugas bagi pihak rakyat.

17.    Dewan Rakyat ialah tempat wakil-wakil yang diberi mandat untuk bersuara mewakili rakyat. Tetapi berbagai usaha dibuat oleh PM-8 untuk menutup mulut wakil-wakil rakyat.

18.    Pada mulanya, Mesyuarat Pertama ditangguhkan. Kemudian hanya KDYMM SPB YDPA yang dibenarkan bertitah. Suara wakil-wakil rakyat cuba dibisukan lagi melalui perisytiharan Darurat dan kini, hanya 80 suara-suara tertentu sahaja dibenarkan di dalam Dewan Rakyat sungguhpun ia dapat dibatalkan selepas desakan ahli-ahli Parlimen secara bi-partisan sebelum pembentangan Belanjawan 2021.

19.    Apa yang mengejutkan adalah apabila Ketua Whip PKR berada dalam mesyuarat dan dilaporkan bersetuju terhadap cadangan limitasi 80 orang ahli Parlimen sahaja; tiba-tiba Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang bangkit melawan ketetapan Speaker Dewan Rakyat yang dipersetujui oleh orang kanan Ketua Pembangkang?

20.    Minggu ini, kita bakal menyaksikan perbahasan penuh kedua-dua belah pihak berkenaan pembentangan Belanjawan 2021. Setakat artikel ini ditulis, terlalu banyak kelemahan yang disengajakan atau telah dijumpai. 

21.    Kelemahan itu telah dijadikan sebahagian isi kandungan Belanjawan 2021. Kita akan menonton bagaimana ahli-ahli Dewan Rakyat yang benar-benar menjadi suara rakyat atau sudah ada diantara mereka, termasuk ahli Parlimen Pembangkang, yang sudah terpukau dengan tawaran ‘scheme of things’ dari kerajaan ‘Abah’. 

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #pejuangberprinsip

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp    

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2   

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW   

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB  

Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj    

Siri 6: https://bit.ly/3mEoP3j 

Siri 7: https://bit.ly/34NmgG8

Siri 8: https://bit.ly/34R4bH2

Siri 9: https://bit.ly/3kbI1Uy

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 6 - DESAKAN PENGELUARAN KWSP, KEGAGALAN KERAJAAN

Picture credit to TVsarawak.com

SELAMATKAN MALAYSIA SIRI 6 - DESAKAN PENGELUARAN KWSP, KEGAGALAN KERAJAAN

Oleh: Armin Baniaz Pahamin

 

1. Keluhan rakyat semakin terdesak sehingga rayuan di lihat bukan sahaja merata-rata di media sosial bahkan permintaan terus ke PM-8. Beban perit semakin dirasai. Rakyat sanggup merayu untuk dibenarkan pengeluaran wang mereka dari tabung simpanan masa depan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini satu rayuan yang amat menyayat hati.

 

2. Bantuan puluhan bilion ringgit yang telah disalurkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya bertindak sebagai 'Panadol' yang hanya memberi kelegaan sementara tetapi beban yang dipikul rakyat, bertambah berat.

 

3. Punca sebenar masalah itu tidak berjaya diatasi. Masalah terbesar negara adalah terletak pada keberkesanan pengurusan dan kelancaran pentadbiran krisis. Krisis lanjutan sedia ada berpunca dari kegagalan pelaksanaan dan penguatkuasaan untuk membendung pandemik Covid-19. Krisis yang menular seperti minyak disimbah ke api bermula dari sifat tamak kuasa tiga individu serangkai; Tan Sri Muhyidin Yasin (PM-8), Dato Seri Azmin Ali dan Dato Seri Hamzah Zainuddin.

 

4. Tak kala rakyat patuh arahan untuk duduk rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, tiga Serangkai tersebut yang masih baru sahaja mengambil alih Kerajaan Persekutuan secara haram pada bulan Mac lepas; terus bergerak menawan negeri Kedah, Johor, Melaka, Perak dan cubaan untuk mengambil alih Sabah. Cubaan tersebut terus mencetus gelombang ketiga pandemik Covid-19. Kerakusan kuasa terbaru itu telah meragut berpuluh nyawa dan lebih dari 20,000 rakyat dijangkiti Covid-19.

 

5. Untuk kekal berkuasa, tiga serangkai ini menunda persidangan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang sepatutnya bermula pada 9 Mac 2020. Sidang parlimen itu ditunda ke hari Isnin 18 Mei 2020 bagi memberi mereka masa tambahan untuk mendapatkan sokongan yang tidak dimiliki.

 

6. Apabila parlimen dapat bersidang pada 18 Mei 2020, PM-8 tidak membenarkan ahli-ahli parlimen dari bersuara. PM-8 berselindung dibelakang Covid-19 untuk mengelak ahli parlimen mempersoalkan sokongan majoriti palsu yang dipersembahkan kepada Agong. Hanya DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang membuka persidangan parlimen bagi tahun 2020. Dengan itu, tiada sesiapa yang boleh bersuara mempertikaikan kedudukan PM-8. Beliau sekali lagi terlepas.

 

7. Majlis Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 telah berlangsung pada 2 September. Dalam jangkamasa 5 bulan itu, tiga serangkai terus membeli sokongan melalui sogokan jawatan dengan terbentuk kabinet yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Ahli parlimen yang tidak mendapat jawatan dalam kabinet di sogok dengan jawatan dalam agensi dan badan kerajaan termasuk GLC.

 

8. Berapakah perbelanjaan negara menampung 71 ahli kabinet tersebut sedangkan rakyat mengikat perut terumbang-ambing kerisauan sehingga sanggup merayu untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

 

9. Hasil dari sogokan jawatan tersebut yang menelan belanja berjuta-juta ringgit wang rakyat, maka PM-8 berjaya hanya mendapat majoriti 2 undi di parlimen untuk meluluskan usul pengosongan jawatan YDP Dewan Rakyat dan majoriti 5 undi semasa meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan. Wang rakyat dipergunakan untuk kepentingan Politik.

 

10. Kini Majlis Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung pada 2 November. Untuk menyelamatkan diri lagi, PM-8 telah cuba untuk mengisytiharkan darurat supaya beliau sekali lagi dapat terlepas. Malangnya cubaan kali ini gagal. Pertama kalinya kudeta beliau gagal dan pertama kalinya dalam sejarah Malaysia DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat seorang Perdana Menteri.

 

11. Nasihat dan cadangan PM-8 terdapat banyak kelemahan terutamanya kerana fokus beliau terbukti untuk kepentingan politik dan bukan untuk kesejahteraan rakyat.

 

12. Dari penangguhan mesyuarat pertama dan persidangan mesyuarat pertama yang berselindung di belakang Covid-19, mesyuarat kedua yang di belanjakan berjuta ringgit untuk meraih sokongan majoriti lebih 2 undi. Mesyuarat ketiga yang cuba dielak melalui pengisytiharan ‘Langkah Darurat’ tetapi gagal. Kini PM-8 cuba berselindung di belakang DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang menitah belanjawan harus disokong sebulat suara.

 

13. Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga yang akan berlangsung dalam 48 jam, satu belanjawan yang tidak masuk akal dijangka akan dibentangkan untuk membeli sokongan parti lawan pada 6 November. Rakyat menaruh sepenuh harapan kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih untuk memperhalusi dan meneliti belanjawan tersebut. Belanjawan tersebut perlu disalurkan sebagai pemangkin industri yang boleh memberi peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan mengurangkan bebanan dan bukan hanya insentif berupa ‘panadol’ semata-mata.

 

14. Selamat hari minggu dan kepada semua ahli-ahli parliment; selamat bersidang.

 

ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

 

#selamatkanmalaysia #kerajaanperpaduan 

 

Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp

Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2

Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW

Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB

Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj 

© all rights reserved
made with by templateszoo