SELAMATKAN MALAYSIA SIRI-11
PINJAMAN TANPA FAEDAH UNTUK PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA (PKS)
Oleh: Armin Baniaz Pahamin
1.
Belanjawan 2021 tidak mempamerkan insentif yang mencukupi untuk membantu
ekosistem dan komuniti perniagaan. Kerajaan dicadangkan agar memberikan
pinjaman tanpa faedah untuk membantu perniagaan seperti yang dilakukan oleh
negara Jepun yang memperuntukkan US$250 billion (lebih RM1.2 trillion) pinjaman
tanpa faedah kepada semua kategori perniagaan.
2. Walaupun Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar,
Menteri Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memaklumkan 32,000 syarikat Perusahaan
Kecil dan Sederhana telah gulung tikar semenjak pandemik Covid-19, tetapi
jumlah ini tidak termasuk syarikat-syarikat yang telah tidak beroperasi tetapi
masih berdaftar. Ia juga tidak mengambil kira syarikat yang mengalami kerugian
teruk tetapi tidak dapat menutup perniagaan kerana masih berhutang dengan bank
dan pembekal.
3. Jumlah 32,000 syarikat itu merupakan jumlah angka
statistik rasmi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu syarikat-syarikat
yang telah membatalkan pendaftaran. Tetapi jumlah sebenar syarikat yang masih
berdaftar tetapi telah tidak beroperasi dan dalam proses penutupan tidak
diambil kira.
4. Menurut Presiden Persatuan PKS Malaysia (SME Association
of Malaysia) Datuk Michael Kang, jumlah syarikat yang telah gulung tikar dan
tidak beroperasi semenjak pandemik Covid-19 menjangkau lebih 100,000 syarikat.
5. Jadi apakah keberkesanan sebenar insentif Penjana kepada
syarikat-syarikat PKS?
6. Yang pasti, kenyataan susulan MEDAC yang menunjukkan statistik 82,000
perniagaan baru berdaftar dengan SSM untuk tempoh yang sama, tidak boleh dijadikan satu ukuran
untuk menonjolkan situasi ekonomi yang semakin pulih. Statistik pendaftaran
perniagaan baru itu melonjak kerana ia merupakan satu syarat untuk peserta
program Penjana.
7. Rakyat di tawarkan satu kursus percuma dibawah inisiatif
Penjana B40 yang dibiayai oleh kerajaan berjumlah RM3,000 sehingga RM5,000
setiap peserta. Peserta diberi elaun penyertaan diantara RM100-RM1,000 dan
apabila tamat program, peserta dimestikan mendaftarkan satu syarikat dan kosnya
dibiayai oleh pelatih/vendor yang dilantik kerajaan. Jadi sudah tentu jumlah
perniagaan berdaftar dengan SSM meningkat.
8. Peserta yang telah mengikuti kursus pendek ini dan
mendaftar penubuhan syarikat pula, telah terkeluar dari jumlah pengangguran.
Apabila kita merujuk kepada kadar pengangguran, jumlah telah menurun dari
820,000 kepada 741,000.
9. Kadar pengangguran yang menurun dengan cara ini juga tidak
membuktikan ekonomi sedang dalam pemulihan. Kedua-dua situasi iaitu penambahan
pendaftaran PKS dan penurunan kadar pengangguran masih tidak menjanjikan gaji,
hasil pendapatan atau keuntungan untuk menampung sara hidup harian. Malah,
mereka masih seperti penganggur yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
10. Saranan saya adalah supaya adanya satu bajet disediakan
samada dibawah Belanjawan 2021 atau dibawah Bank Negara Malaysia untuk
menyediakan pinjaman mudah tanpa faedah kepada syarikat-syarikat PKS yang
terkesan dengan pandemik Covid-19. Pinjaman ini dijamin oleh badan-badan
kerajaan.
11. Sebuah bajet berupa geran dengan jumlah maksima RM30,000
sebagai modal pemula untuk peniaga kecil juga patut disediakan kepada
penganggur atau pekerja yang kehilangan kerja akibat wabak Covid-19, yang ingin
memulakan perniagaan.
12. Tetapi pinjaman tanpa faedah ini masih tidak dapat
menjanjikan pulangan tanpa satu lagi bajet untuk meningkatkan lagi permintaan
agregat (aggregate demand) yang semakin menurun.
13. Seperti saranan YB Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad,
satu bajet yang lebih besar perlu diperuntukkan untuk ujian Covid-19 dilakukan
secara menyeluruh kepada lebih ramai rakyat (mass testing) dan lebih kerap.
14. Dengan cara ini, rakyat bebas untuk bekerja,
membeli-belah dan meningkatkan aktiviti ekonomi sementara perniagaan terus
dapat bernafas. Kerajaan melalui Kementerian perlu bertindak proaktif dan
agresif meminda Belanjawan 2021 atau mengumumkan insentif tambahan seperti yang
dicadangkan diatas.
15. Kementerian Kewangan tidak boleh terus menerus menghabiskan masa mempertahankan isi kandungan bajet yang ternyata gagal menyokong pemulihan pasaran dan ekonomi domestik. Bertindak bukan berdalih!
ARMIN BANIAZ PAHAMIN ~ Usahawan teknologi, Mantan Pengerusi & President Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.
#selamatkanmalaysia #pejuangberprinsip #tolakbelanjawan #muhyidinout
Siri 1: https://bit.ly/2IHW2Mp
Siri 2: https://bit.ly/3jqUeV2
Siri 3: https://bit.ly/31AKWPW
Siri 4: https://bit.ly/3mzLGNB
Siri 5: https://bit.ly/3mBoLBj
Siri 6: https://bit.ly/3mEoP3j
Siri 7: https://bit.ly/34NmgG8
Siri 8: https://bit.ly/34R4bH2
Siri 9: https://bit.ly/3kbI1Uy
Siri 10: https://bit.ly/3n2gq9S