Responsive Ad Slot

Pejuang yang tolak Dr Mahathir – Armin Baniaz


Pejuang yang tolak Dr Mahathir – Armin Baniaz | 
By Wartawan MalaysiaGazette - 11 February 2023

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertindak keluar Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana cukup kecewa dengan kepimpinan parti itu yang bertegas untuk terus menolak Gerakan Tanah Air (GTA).

Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Armin Baniaz Pahamin berkata, Mahathir sangat sedih apabila Pejuang masih mahu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) sedangkan idea itu tidak selari dengan matlamat dan perjuangannya yang mahu membela nasib orang Melayu dan menyelamatkan negara.

Menurut beliau, ternyata apa yang dilakukan oleh kepimpinan Pejuang menunjukkan parti itu sanggup membelakangkan perjuangan demi mencapai matlamat mereka.

”Tun Mahathir dan kami sentiasa konsisten untuk menyatupadukan parti, NGO dan individual Melayu. Tapi pejuang tak setuju dan tolak perjuangan GTA yang dipengerusikan oleh Tun sendiri dan pada masa sama sanggup mempertimbangkan kerjasama dengan perjuangan gabungan lain.

”Apabila Pejuang menolak GTA, Tun Mahathir yang pada masa itu masih kekal sebagai ahli menganggap Pejuang telah menyingkir beliau selaku Pengerusi GTA dan juga pencetus idea penyatuan Melayu.

“Oleh itu, Tun Mahathir bersama kami berpendapat sudah tidak ada ruang dan tempat lagi untuk kami dalam Pejuang.

“Apabila kepimpinan Pejuang menolak GTA maka kita tahulah bahawa mereka tidak berminat dengan perjuangan asal parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas tindakan bekas Pengerusi Pejuang yang bertindak keluar parti yang diasaskannya itu bersama 12 lagi individu semalam.

Mereka ialah bekas Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Marzuki Yahya; bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Abu Bakar Yahya.

Turut meninggalkan Pejuang ialah Armin Baniaz Pahamin, Afiqah Mohamad, Azman Mohd. Hashim, Datuk Nuhairi Rahmat, Mohd Jaffri Hussain, Mohamad Jani, Datuk Ahamed Basheer, Wan Azliana Wan Adnan dan Fyzul Adzwan Mustafa Kamal.

Menurut Armin, pembentukan GTA itu diasaskan oleh Mahathir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan matlamat untuk menyatupadukan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pejuang-pejuang Melayu di bawah satu gabungan.

Idea itu, dakwanya mendapatkan sokongan namun sayangnya GTA tidak sempat didaftarkan kerana PRU-15 diumumkan lebih awal.

Biarpun Mahathir kesal apabila Pejuang tidak diterima rakyat dalam pilihan raya lalu namun semangatnya tidak luntur kerana GTA masih diterima baik.

“Tetapi Pejuang pulak tarik sokongan ada di pihak Pejuang Muda tidak setuju dengan usaha memperkasakan GTA.

“Pejuang beria-ria mahu menjadi sebahagian daripada parti yang menyokong Pakatan Harapan (PH) yanh didakwa sudah establish (kukuh) dengan alasan untuk kekal relevan,” tambahnya.

Sebagai individu yang terawal dalam penubuhan Pejuang, Armin tidak menafikan beliau kecewa dengan tindakan parti itu.

“Sebab dari awal-awal lagi perjuangan Pejuang adalah untuk menyatukan orang Melayu dan menyelamatkan Malaysia.

“Kalau parti-parti Cina, waima apa pun jenamanya, mereka masih memperjuangkan bangsanya.

“Tetapi parti Melayu tidak konsisten, tidak setia dengan perjuangan mereka. Memang menyedihkan,” tambahnya lagi.

Ditanya apa reaksi Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Presiden Pejuang dengan tindakan 13 ahli ini, beliau berkata: “Tidak pasti”.

Malah, beliau mendakwa, setakat ini PH juga tidak menunjukkan minat terhadap Pejuang/

Armin berkata, dengan keputusan yang dibuat oleh Mahathir dan 12 yang lain bermakna usaha memperkasakan GTA akan dibuat.

“Tunggu pengumuman Dr Mahathir tidak lama lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARMIN BANIAZ CAPAI PENYELESAIAN DAMAI DENGAN AIM, HENTIKAN TINDAKAN MAHKAMAH

CAPAI PERSETUJUAN DENGAN AMANAH IKHTIAR MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA (EDARAN SEGERA)

1. Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan media yang telah dibuat pada 11.10.2021 dan 8.11.2021 yang mana telah dibuat membabitkan Amanah Ikhtiar Malaysia (“AIM”) di atas kapasiti saya selaku Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti PEJUANG.

2. Sepanjang perjalanan proses Mahkamah yang melibatkan perkara-perkara yang diadukan di dalam kenyataan-kenyataan media saya tersebut dan berdasarkan perkembangan terkini tindakan di Mahkamah tersebut, PEJUANG menerima penjelasan-penjelasan daripada pihak AIM dan dengan itu tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini dengan lebih lanjut.

3. Matlamat PEJUANG yang menjunjung nilai-nilai murni dengan berteraskan prinsip memerangi rasuah dan menolak kleptokrasi serta melaksanakan hak untuk bersuara bagi tujuan semak dan imbang ke atas pentadbiran dan pengurusan badan-badan Kerajaan, telahpun dilaksanakan selaras dengan sistem demokrasi negara ini.

4. Oleh yang demikian, kedua-dua pihak AIM dan saya telah mencapai persetujuan dan persepakatan untuk menghentikan tindakan Mahkamah tersebut dan memfokuskan ke arah perkhidmatan kepada rakyat.

Sekian, salam hormat.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN
Mantan Ahli Majlis Eksekutif Pusat | Mantan Ketua Biro Ekonomi Pusat
Parti Pejuang Tanahair
18.01.2023

Gerakan Tanah Air can improve welfare of Malays, unlike PAS


 'Gerakan Tanah Air can improve welfare of Malays, unlike PAS'Published:  Sep 13, 2022 4:50 PM

ADS
The Gerakan Tanah Air (GTA) pact can improve the economic standing and future of the Malay community - something Islamist party PAS failed to achieve, alleges Armin Baniaz Pahamin.

The GTA central executive council member said many require assistance after they were left economically devastated by the Covid-19 pandemic.




EKONOMI DAN MASA DEPAN ORANG-ORANG MELAYU LEBIH TERPELIHARA DIBAWAH GTA

 EKONOMI DAN MASA DEPAN ORANG-ORANG MELAYU LEBIH TERPELIHARA DIBAWAH GTA

  1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan jelas membuktikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak faham konsep dan matlamat penubuhan Gerakan Tanah Air tetapi lebih memberi fokus kepada pegangan kuasa, isu politik dan menyokong perasuah-perasuah dan penyalahguna kuasa.

  2. Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)di SMK Sultan Ismail. Mengikut beliau, Parti PAS tidak akan menyertai GTA dengan alasan GTA bukanlah daripada parti dominan dan telah pun mempunyai gabungan sendiri.

  3. GTA adalah gerakan orang-orang Melayu untuk mengubah nasib dan masa depan bangsa Melayu dan bukanlah satu permainan politik. Kemiskinan pasca pandemik adalah satu realiti dan hakikat yang perlu diterima dan diatasi, dan ia tidak mungkin akan selesai dengan sendirinya tanpa wawasan dan tindakan oleh kerajaan.

  4. Kalau Parti PAS mengutamakan ekonomi dan masa depan orang-orang Melayu, Parti PAS harus bersama dengan GTA dan bersama untuk mengubah landskap ekonomi bangsa Melayu.

  5. Di Kelantan negeri yang diterajui oleh Parti PAS, kitaran kemiskinan amat nyata dan tiada penyelesaian. Kebanyakan generasi-generasi muda terhindar dari kemajuan akibat kemiskinan. Anak-anak di bangku sekolah terpaksa membantu ibu dan bapa berniaga untuk mencari sesuap nasi dan tidak dapat memberi fokus dan tumpuan kepada sekolah dan pembelajaran. Ramai yang tidak sempat tamat pelajaran sekolah menengah atau tamat dengan keputusan peperiksaan yang lemah.

  6. Tanpa pengajian tinggi, anak-anak mereka akan mengalami nasib yang sama seperti ibu bapa mereka dan kitaran ini akan berterusan ke generasi-generasi akan datang.

  7. Struktur dan halatuju ekonomi negeri Kelantan juga tidak dapat menjana pendapatan kepada kerajaan negeri dan tidak dapat menjana permintaan untuk mewujudkan pekerjaan atau ekosistem perniagaan. Kerajaan Negeri terpaksa menggadai tanah-tanah balak dan mengeluarkan permit-permit menjual pasir yang tidak menguntungkan negeri Kelantan.

  8. Pentadbiran kerajaan negeri juga mengambil langkah yang mudah untuk mentadbir dengan menswastakan tempat letak kenderaan dengan caj bayaran dan denda yang jauh lebih tinggi dari negeri-negeri yang lebih maju. Caj-caj dan bayaran denda ini juga tidak menguntungkan kerajaan negeri tetapi lebih menguntungkan syarikat swasta itu dan

UNTUK EDARAN SEGERA

membebankan rakyat. Penswastaan ini juga mengurangkan peluang kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan hasil yang lebih.

  1. Peratusan tanah rizab Melayu di negeri Kelantan adalah yang tertinggi berbanding negeri- negeri lain. Walaubagaimanapun, kami risau apabila menerima laporan tanah-tanah rizab Melayu ini dengan jumlah yang agak besar, telah di pajak kepada golongan bukan Melayu dan bukan dari orang tempatan. Dengan jumlah tanah yang dipajak kepada golongan bukan Melayu dan bukan tempatan, peluang untuk orang-orang Melayu menjana pendapatan dari tanah-tanah negeri Kelantan semakin tipis.

  2. Oleh sebab itu, memartabatkan kuasa pembeli dan ekonomi orang-orang Melayu menjadi salah satu dari matlamat utama gerakan orang-orang Melayu di bawah GTA. Prinsip bersih, cekap dan amanah akan memastikan perlaksanaan yang telus tanpa rasuah, salah guna kuasa dan lebih berkesan. Penyatuan orang-rang Melayu termasuk ahli dan penyokong PAS dalam memperjuangkan ekonomi dan taraf hidup orang-orang Melayu akan lebih menjamin perubahan terutamanya dari segi struktur ekonomi.

  3. GTA juga di sertai oleh individu-individu dan NGO-NGO Melayu dari berbagai kluster. Pembabitan NGO dari 12 kluster berlainan ini dapat memberi impak yang besar kerana NGO tersebut adalah pihak yang punyai kepakaran yang relevan dan lebih peka kepada keperluan dan isu-isu industri. Kalau kebiasaannya NGO terpaksa membentangkan masalah mereka kepada Kementerian-Kementerian untuk dipertimbangkan, melalui GTA mereka akan menjadi sebahagian dari pembuat dasar. Ini akan menjadi pemangkin kepada struktur ekonomi baru yang akan diperkenalkan.

  4. Kami percaya ahli dan penyokong PAS juga sudah bosan dengan masalah air di Kelantan dan Kedah, dan mahukan sebuah Kerajaan yang mampu menanganinya. Jelas Kerajaan Negeri pimpinan PAS gagal untuk menggalas tanggungjawab ini.

  5. Perubahan hanya boleh berlaku melalui gerakan orang-orang Melayu yang bersatu.

ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Ahli Majlis Eksekutif Pusat |
Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti Pejuang Tanahair 13.09.2022





Pas sertailah GTA jika mahu martabat ekonomi orang Melayu – Armin

 

Pas sertailah GTA jika mahu martabat ekonomi orang Melayu – Armin

By Ainul Asniera Ahsan - 13 September 2022

KUALA LUMPUR – Kalau Parti Pas mengutamakan ekonomi dan masa depan orang-orang Melayu, parti itu harus bersama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan bersama untuk mengubah landskap ekonomi bangsa Melayu.

Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Armin Baniaz Pahamin mendakwa, GTA adalah gerakan orang-orang Melayu untuk mengubah nasib dan masa depan bangsa itu dan bukanlah satu permainan politik.

Menurutnya, kemiskinan pasca pandemik adalah satu realiti dan hakikat yang perlu diterima dan diatasi dan ia tidak mungkin akan selesai dengan sendirinya tanpa wawasan dan tindakan oleh kerajaan.
Di Kelantan, negeri yang diterajui oleh Pas, kitaran kemiskinan amat nyata dan tiada penyelesaian.

Kebanyakan generasi-generasi muda terhindar daripada kemajuan akibat kemiskinan hinggakan anak-anak di bangku sekolah terpaksa membantu ibu dan bapa berniaga untuk mencari sesuap nasi dan tidak dapat memberi fokus dan tumpuan kepada sekolah dan pembelajaran.

Malah, dakwa Armin, ramai yang tidak sempat tamat pelajaran sekolah menengah atau tamat dengan keputusan peperiksaan yang lemah.

”Tanpa pengajian tinggi, anak-anak mereka akan mengalami nasib yang sama seperti ibu bapa mereka dan kitaran ini akan berterusan ke generasi-generasi akan datang.

”Struktur dan hala tuju ekonomi negeri Kelantan juga tidak dapat menjana pendapatan kepada kerajaan negeri dan tidak dapat menjana permintaan untuk mewujudkan pekerjaan atau ekosistem perniagaan. Kerajaan Negeri terpaksa menggadai tanah-tanah balak dan mengeluarkan permit-permit menjual pasir yang tidak menguntungkan negeri Kelantan.

”Pentadbiran kerajaan negeri juga mengambil langkah yang mudah untuk mentadbir dengan menswastakan tempat letak kenderaan dengan caj bayaran dan denda yang jauh lebih tinggi dari negeri-negeri yang lebih maju. Caj-caj dan bayaran denda ini juga tidak menguntungkan kerajaan negeri tetapi lebih menguntungkan syarikat swasta itu dan membebankan rakyat.

”Peratusan tanah rizab Melayu di negeri Kelantan adalah yang tertinggi berbanding negerinegeri lain. Walau bagaimanapun, kami risau apabila menerima laporan tanah-tanah rizab Melayu ini dengan jumlah yang agak besar, telah di pajak kepada golongan bukan Melayu,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Pas tidak akan menyertai GTA kerana gabungan itu bukanlah daripada parti dominan.

Oleh sebab itu, memartabatkan kuasa pembeli dan ekonomi orang-orang Melayu menjadi salah satu dari matlamat utama gerakan orang-orang Melayu di bawah GTA.

Jelasnya, prinsip bersih, cekap dan amanah akan memastikan perlaksanaan yang telus tanpa rasuah, salah guna kuasa dan lebih berkesan dan penyatuan orang-orang Melayu termasuk ahli dan penyokong Pas dalam memperjuangkan ekonomi dan taraf hidup orang-orang Melayu akan lebih menjamin perubahan terutamanya dari segi struktur ekonomi. – MalaysiaGazette

TAKIYUDDIN TIDAK FAHAM KONSEP, MATLAMAT GTA - PEJUANG


 Takiyuddin tidak faham konsep, matlamat GTA – Pejuang

PENDIRIAN Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa PAS menolak menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) jelas membuktikan Setiausaha Agung parti itu tidak faham konsep penubuhan gabungan tersebut.

Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata Takiyuddin lebih memberi fokus kepada pegangan kuasa, isu politik dan menyokong perasuah dan penyalahguna kuasa.

“GTA adalah gerakan orang Melayu untuk mengubah nasib dan masa depan bangsa, bukanlah satu permainan politik.

“Kemiskinan pasca pandemik adalah realiti dan hakikat perlu diterima dan diatasi, dan ia tidak mungkin selesai dengan sendirinya tanpa wawasan dan tindakan oleh kerajaan.

“Kalau PAS mengutamakan ekonomi dan masa depan orang Melayu, PAS harus bersama GTA untuk mengubah landskap ekonomi bangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata PAS tidak akan menyertai GTA dan menegaskan penubuhan gabungan itu tidak memberi kesan kepada PAS.

Kata beliau, gabungan itu yang dipelopori Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bukanlah terdiri daripada parti-parti dominan.

Sementara itu, Armin Baniaz berkata, GTA juga disertai individu dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dari perbagai kluster.

Ujarnya, pembabitan NGO dari 12 kluster berlainan dapat memberi impak besar kerana mereka adalah pihak yang mempunyai kepakaran relevan dan lebih peka kepada keperluan dan isu-isu industri.

“Kalau kebiasaannya NGO terpaksa membentangkan masalah mereka kepada Kementerian-Kementerian untuk dipertimbangkan, melalui GTA mereka akan menjadi sebahagian dari pembuat dasar. Ini akan menjadi pemangkin kepada struktur ekonomi baru yang akan diperkenalkan.

“Kami percaya ahli dan penyokong PAS juga sudah bosan dengan masalah air di Kelantan dan Kedah, dan mahukan sebuah kerajaan yang mampu menanganinya,” katanya. – Malaysiapost

SEGERAKAN SIASATAN GESA PEJUANG KEPADA TAN SRI NOH OMAR

SEGERAKAN SIASATAN GESA PEJUANG KEPADA TAN SRI NOH OMAR SELAKU MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI


1. Parti Pejuang Tanahair menggesa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk segera mengambil tindakan dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas untuk menyiasat dakwaan terbaru dan semua dakwaan salah laku pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia.


2. Pada 26 Ogos 2022, pihak kami telah menerima satu laporan melalui pautan umum yang mendakwa timbul isu penyelewengan wang rakyat Amanah Ikhtiar Malaysia dan Koop Sahabat berhubung projek balak di Hutan Simpan Berkelah Jerantut Pahang 6,591.7 ekar bernilai RM40,738,520.00 dengan sebuah Yayasan di Pahang.


3. Projek balak tersebut didakwa tidak wujud tetapi bayaran telah dibuat. Projek itu sepatutnya mendapat pulangan RM7.0 juta sejak tahun 2018 tetapi sebaliknya Syarikat Gemalai Plantation Sdn Bhd (GEMALAI PRIMARY INDUSTRY SDN. BHD) terus rugi sehingga tahun 2021.


4. Parti Pejuang Tanahair telah mengeluarkan dua kenyataan media pada 11 Oktober 2021 dan 8 November 2021 untuk menggesa kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat dakwaan salahlaku pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia berdasarkan laporan-laporan yang kami terima. 


5. Sehingga kini, tiada tindakan diambil oleh kerajaan mahupun Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang bertanggung jawab keatas Amanah Ikhtiar Malaysia. 


6. Sebaliknya saya di saman pada 17 Februari 2022 oleh Amanah Ikhtiar Malaysia melalui peguamnya Tetuan Kamarudin & Partners yang tentunya dibawah arahan mereka yang didakwa terlibat.


7. Dengan dakwaan terbaru ini, kami menggesa YB Tan Sri Noh Omar selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas dan bekerjasama dengan SPRM dan PDRM untuk mempastikan segala dakwaan penyelewengan dan salah laku di kenalpasti dan nama baik institusi Amanah Ikhtiar Malaysia dapat di bersihkan


ARMIN BANIAZ PAHAMIN

Pimpinan Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Pejuang

29.08.2022 




RAKYAT HARUS MENILAI DASAR EKONOMI PARTI-PARTI POLITIK PADA PILIHANRAYA UMUM KE 15

DASAR-DASAR EKONOMI HARUS MENJADI KEUTAMAAN PADA PILIHANRAYA UMUM.

1. Kuala Lumpur. Pilihanraya Umum ke 15 adalah penentu kepada masa depan ekonomi negara dan rakyat harus peka dan cakna terhadap dasar-dasar dan polisi parti-parti politik. Dasar-dasar ekonomi parti politik harus menjadi keutamaan kepada pengundi semasa pilihanraya umum ke 15 nanti.
2. Dasar-dasar yang akan diperkenalkan dan perlaksanaan dasar tersebut menjadi tunggak kepada struktur ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia kembali sebagai Harimau Asia dan ini hanya boleh tercapai dengan memilih calon Perdana Menteri yang berkemampuan berdasarkan wawasan dan pengalaman.
3. Kemerosotan ekonomi Malaysia semakin tidak terkawal dengan kenaikan harga barangan, matawang yang semakin susut nilai, pengangguran yang meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang semakin terkebelakang berbanding dengan negara-negara jiran dan negara Asia lain.
4. Walaupun pembangunan ekonomi adalah sasaran tetapi ianya akan lebih bermakna apabila rakyat mendapat manfaat dari pembangunan tersebut. Pembangunan ekonomi sekarang banyak memberi manfaat kepada pelabur luar dan kurang memberi fokus terhadap perlaksanaan dasar- dasar untuk membantu syarikat-syarikat tempatan berdaya saing.
5. Ini terbukti dengan kemerosotan pemilikan ekuiti Bumiputera dari 23.4% pada 2011 kepada 17.2% berasaskan nilai pasaran tahun 2019. Pegangan asing pula meningkat dari 37.2% kepada 45.5%. Pegangan ekuiti bukan Bumiputera juga jatuh dari 34.8% kepada 25% (namaan 12.3%). Bukan sahaja bangsa Melayu tetapi rakyat bukan Bumiputera juga tidak mendapat manfaat terutamanya akibat dari perlaksanaan dasar yang lemah.
6. Peratusan pemilikan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 12% dan semakin mengecil. Kami risau Tanah Rizab Melayu akan pupus menjelang tahun 2050. Terbaru, tanah rizab Melayu di Kampung Sungai Baru di paksa jual dengan harga yang zalim. Dasar-dasar seperti ini merugikan orang Melayu dan tidak akan memberi manfaat dalam memperkukuhkan ekonomi bangsa Melayu yang semakin miskin di bawah pentadbiran kerajaan Melayu.
7. Peratusan pembabitan Bumiputera dalam berbagai industri juga semakin menguncup. Sebagai contoh, peratusan Bumiputera dalam rangkaian pengedar kereta nasional Proton juga telah jatuh kurang dari 20% dari lebih 60% beberapa tahun yang lepas.
8. Pemilikan Bumiputera dalam perusahaan industri kecil pula berjumlah 37% tetapi 88% dari jumlah itu berada di tahap usahawan mikro iaitu syarikat yang mempunyai jualan kurang dari RM300,000 setahun dan mempunyai kurang dari 5 orang pekerja. Bantuan dan penyampaian bantuan yang lebih efektif dan mudah perlu disalurkan kepada perniagaan mikro untuk mengembang dan melonjakkan mereka ke tahap industri kecil.
9. Malaysia memerlukan reset halatuju ekonomi supaya industri-industri utama negara dapat di manfaatkan kepada lebih banyak usahawan tempatan dan ini hanya boleh berlaku semasa pilihanraya umum ke 15. Rakyat harus lebih cakna dan pandai menilai dasar-dasar Parti Politik semasa pilihanraya dan bukan memilih mengikut nafsu.
10. Yang pasti pemimpin yang korup dan terpalit dengan rasuah harus ditolak sama sekali demi masa depan negara. Parti Pejuang Tanahair ditubuhkan bukan untuk melawan rakyat bukan Bumiputera tetapi untuk melawan pemimpin Melayu yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa. Ini tentunya akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat keseluruhan dan bukan sahaja kepada bangsa Melayu.
ARMIN BANIAZ PAHAMIN
Pimpinan Majlis Eksekutif Pusat | Pengerusi Biro Ekonomi Malaysia Parti PEJUANG Tanahair
01.08.2022



© all rights reserved
made with by templateszoo