Dasar Subsidi Bersasar Tiada Manfaat Untuk Rakyat Marhaen
Dasar subsidi bersasar yang dicanang oleh kerajaan Madani tidak memberi apa-apa manfaat tambahan kepada golongan B40 dan golongan M40. Ini merangkumi hampir 80 peratus warga kerja di Malaysia.
Dengan subsidi yang sedia ada, majoriti rakyat masih dalam keperitan menghadapi krisis kenaikan harga barang dan Matawang ringgit yang lemah.
Dalam keadaan ekonomi yang dijangka akan lebih merudum dengan risiko gawat, kerajaan sepatutnya membentang bajet tambahan untuk mengurangkan beban rakyat dengan menambah bantuan kepada rakyat untuk mengharungi kehidupan yang sukar.
Kerajaan juga perlu mengutamakan pengurangan kos dalam pentadbiran kerajaan.
Umum sedia maklum kos menyelenggara pentadbiran kerajaan amatlah tinggi dan kerajaan sepatutnya lebih prihatin untuk mengurangkan kos ini.
Subsidi kepada golongan B40 dan M40 tidak terjejas dan tidak juga bertambah di bawah dasar subsidi bersasar. Setakat yang dimaklumkan, hanya golongan T20 yang akan terjejas.
Jadi tidak ada apa-apa manfaat kepada rakyat marhaen tetapi kerajaan mungkin mendapat sedikit penjimatan dari subsidi kepada golongan T20 yang ditarik.
Subsidi adalah seumpama panadol yang diberi untuk mengurangkan beban rakyat tetapi ia bukanlah penyelesaian. Rakyat sebenarnya tidak memerlukan subsidi jika mereka boleh berdikari dan dapat menjana pendapatan yang selesa.
Masalah terbesar ialah masalah kemiskinan dan masalah ekonomi.
Kerajaan perlu merangka satu ‘industrial masterplan’ atau dasar-dasar jangka-masa pendek dan jangka panjang untuk menentukan permintaan dari ekonomi sentiasa terbuka untuk memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang selesa dan ekosistem perniagaan yang mampan kepada semua.
Kerajaan perlu membina dan memandu sektor-sektor tertentu dan memastikan sektor tersebut maju dan berdaya saing sekurang-kurangnya di Asia Tenggara.
Sebenarnya dasar-dasar inilah yang kurang dalam kerajaan Madani dan tiada fokus untuk memperkenalkan dasar-dasar industri baru.
Semasa zaman gemilang Malaysia sebagai Harimau Asia, kerajaan membangun berbagai industri seperti industri automotif, perkapalan, penerbangan, teknologi, perkilangan elektronik dan ini didokong dengan pembiayaan pendidikan dan biasiswa untuk melahirkan tenaga kerja yang cukup untuk memenuhi permintaan dari setiap sektor yang dibangunkan melalui dasar-dasar kerajaan.
Setiap industri yang dibangunkan, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Industri automotif umpamanya memberi pekerjaan kepada lebih 710,000 pekerja dan menyumbang sebanyak RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Kebelakangan ini, viral kisah seorang graduan wanita ijazah sarjana muda dalam jurusan jurutera mekanikal (Mechanical Engineering) terpaksa bekerja sebagai juruwang di kedai 7-11 kerana tidak mendapat tawaran kerja walaupun beliau telah memohon diberbagai syarikat dan institusi.
Ramai sebenarnya anak muda yang terbeban dalam kategori ini dan menyumbang kepada statistik golongan yang memerlukan bantuan dan subsidi. Ini berlaku kerana suasana ekonomi kita yang semakin mundur, merudum dan tiada hala tuju.
Kerajaan perlu mengutamakan dasar yang boleh mengubah landskap dan taraf kehidupan rakyat dan jumlah perbelanjaan subsidi secara tidak langsung akan beransur kurang.
Pelaksanaan subsidi bersasar ini mungkin penting untuk kerajaan mengurangkan perbelanjaan tetapi yang lebih penting ialah untuk kerajaan merangka dasar-dasar pembangunan industri dan hala tuju industri-industri tertentu terutamanya industri-industri yang mampu menyumbang kepada pendapatan negara.
Dengan pendapatan negara yang meningkat hasil dari pembangunan industri seperti industri automotif, dan petroleum, kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak manfaat kepada rakyat seperti pendidikan dan peluang-peluang pekerjaan dan secara tidak langsung mengurangkan perbelanjaan subsidi dan bantuan.
Untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan perlu memberi fokus kepada pendapatan boleh belanja bersih individu dan bukan isi rumah dan membantu dengan menambah bantuan atau subsidi jika tidak mencukupi, sebagai persediaan mengharungi keadaan ekonomi yang dijangka akan semakin mencabar.
Armin Baniaz Pahamain : Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia
Artikel ini pertama kali di siarkan di MalayaDaily.com
https://malayadaily.com/kolumnis/dasar-subsidi-bersasar-tiada-manfaat-untuk-rakyat-marhaen/